Kami perlukan anda semua di Bukit Jalil – Pau Marti

62

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti menyeru seluruh peminat bola sepak tanah air untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam ini bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Malam ini skuad negara akan turun menentang Singapura untuk perlawanan keempat peringkat Kumpulan A Piala AMEC 2024 yang merupakan aksi yang cukup penting buat kedua-dua pasukan.


Ini kerana kedua-dua pasukan memerlukan keputusan positif untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir dengan skuad negara memerlukan kemenangan manakala pasukan lawan hanya memerlukan seri.

Tidak hanya perlawanan malam ini penting untuk skuad negara, tetapi ia juga berkemungkinan akan menjadi perlawanan terakhir buat Pau Marti susulan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu skuad negara.

Oleh itu, Pau Marti menerusi hantaran di media sosial X miliknya menyeru Ekor Harimau Malaya untuk turun ke SNBJ kerana pasukan memerlukan sokongan.

“Kami perlukan anda semua di Bukit Jalil,”

tulisnya ringkas.

Untuk kempen Piala AMEC kali ini, skuad negara kini berada kedudukan ketiga Kumpulan A selepas tiga perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Dalam pada itu, selain perlukan kemenangan menentang Singapura skuad negara juga berharap agar Thailand dapat menewaskan Kemboja berikutan kedua-dua pasukan kini berkongsi empat mata.

Jadi ayuh kita turun ke SNBJ untuk beri sokongan padu buat Harimau Malaya.