Steffi teruja bakal beraksi di AWCL bersama Kelana United musim depan
Kapten pasukan Kelana United FC, Steffi Sidhu nyata teruja apabila pasukannya bakal membuat penampilan pertama mereka di pentas Asia iaitu di AFC Women’s Champions League (AWCL) pada musim hadapan.
“Kami akan beraksi di AWCL tahun depan, jadi saya rasa ia adalah memori yang cukup manis untuk saya.
Saya juga berharap pada tahun hadapan saya dapat bina semangat pasukan Kelana United pula,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kelana United bakal beraksi di AWCL apabila mereka berjaya menjadi juara saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024.
Ia juga akan menjadi penampilan kedua Steffi di AWCL selepas kali pertama beliau beraksi di pentas Asia adalah baru-baru ini yang mana ketika itu beliau menyarung jersi pasukan Sabah FA.
Dalam pada itu, Steffi berkata walaupun Kelana United sudah pun dinobat sebagai juara, namun pasukan tetap bersemangat untuk mengharungi perlawanan terakhir menentang Sabah FA hujung minggu ini.
“Saya dan Intan sudah pernah bermain dengan Sabah dan mereka semua kawan-kawan kami, jadi saya rasa apa yang penting kita akan turun padang dan kita akan main sehabis baik.
Sebab, kita pun nak kekalkan, kalau boleh ‘undefeated’ tapi kami kalah satu perlawanan menentang Melaka.”
Sementara itu, Steffi juga gembira dan bangga melihat kejayaan yang dikecapi oleh Kelana United kerana mereka sebelum ini hampir menarik diri dek kesukaran untuk mencari pemain.
“Saya dan Intan sebenarnya yang membentuk pasukan ini kerana pada awalnya kami hanya ada lima ke enam pemain sahaja dan ada satu tahap saya dan Intan berbincang dengan Datuk Kelana United untuk tutup pasukan kerana tidak cukup pemain.
Tapi itulah semangat kawan-kawan. Ada kawan yang sanggup nak main, jadi saya sangat terharu.”