Fairuz Montana akui kerjasamanya dengan Steffi berjaya bawa Kelana United menjuarai LWN 2024
Ketua jurulatih Kelana United FC, Fairuz Montana mengakui kejayaan pasukannya itu menjadi juara saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 bukan kerana hasil kerjanya sahaja sebaliknya ia adalah hasil kerjasamanya dengan kapten pasukan Steffi Sidhu.
Menurut Fairuz, Steffi merupakan antara watak utama dalam pasukan yang mana beliau memastikan hubungan antara pemain muda dan senior rapat.
“Saya tabik pada Steffi dan pemain-pemain senior lain. Tiada jurang antara pemain senior dan junior yang mana pemain-pemain junior akan terima teguran yang diberikan oleh pemain senior, jadi atas sebab itu kredit harus diberikan kepada Steffi.
Saya sering berkomunikasi dengan Steffi kerana musim ini adalah musim pertama saya mengendalikan pasukan bola sepak wanita. Jika Malaysia ada Shukor Adan, untuk wanita kita ada Steffi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kelana United sudah dinobat sebagai juara LWN musim ini, namun mereka kini sedang membuat persiapan rapi bagi mengharungi perlawanan terakhir liga menentang juara musim lalu iaitu Sabah FA.
“Kita ada satu lagi perlawanan menentang Sabah yang mana kita akan bermain seperti biasa dan tidak akan mengambil mudah sebaliknya menganggap perlawanan itu seperti perlawanan akhir.”
Beliau pada masa sama turut berasa cukup gembira dan bangga dengan pemain-pemainnya yang mana mereka telah meninggalkan satu momen yang cukup bermakna buat dirinya.
Dalam pada itu, Fairuz juga memaklumkan bahawa beliau sendiri belum tahu sama ada akan terus kekal mengendalikan Kelana United pada musim hadapan atau tidak biarpun berjaya membawa pasukan itu menjadi juara dan layak ke pentas Asia iaitu AFC Women’s Champions League (AWCL).
Sementara itu, Fairuz turut memberitahu bahawa beliau mendedikasikan kejuaraan LWN ini buat Allahyarham Herman Misbah dan keluarganya.