Keputusan untuk Kelantan Red Warrior bermain di Liga A1 hanya akan diputuskan pada tahun hadapan

75

Kelantan Red Warriors (KRW) baru-baru ini membuat pelancaran semula pasukan mereka dan telah menghantar permohonan rasmi kepada pihak penganjur Amateur Football League (AFL) untuk bertanding dalam Liga A1 bagi musim 2025.

Langkah ini menunjukkan kesungguhan dan aspirasi pasukan ini untuk kembali bersaing di peringkat yang lebih tinggi dalam bola sepak Malaysia dan menerusi temubual bersama Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan telah mengesahkan perkara tersebut dan berkata pihaknya kini sedang menunggu AFL untuk memproses permohonan mereka.


KRW bagaimanapun tidak akan mendapat keputusan mengenai permohonan mereka itu dalam masa terdekat kerana pihak AFL hanya akan membuat pertimbangan lanjut selepas tamat saingan Liga A1 musim 2024 yang dijangka akan melabuhkan tirainya pada Februari 2025.

“Berkenaan dengan KRW atau Kelantan Red Warrior kita tak nafikan memang kita sudah menerima permohonan mereka untuk bermain di Liga A1 untuk musim 2025, tapi seperti yang kita maklumkan kepada mereka bahawa buat masa ini AFL mempunyai komitmen untuk memastikan saingan Liga A1 berlangsung dan berakhir dengan baik.

Kita juga sudah maklumkan kepada pihak KRW bahawa liga kita akan tamat pada Februari 2025, jadi kita punya tempoh yang panjang tambahan pula saingan Liga A1 musim 2025 akan bermula kembali pada bulan Mei atau Jun.

Oleh itu buat masa sekarang kita tidak boleh memberi sebarang keputusan namun begitu kita sangat menghargai minat dan kesungguhan mereka untuk bermain di Liga A1,”

ujar Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad kepada Harimau Malaya.

Menurut Raimi, pihak AFL akan memberi keutamaan penyertaan Liga A1 kepada pasukan yang layak secara merit iaitu Johan dan Naib Johan Liga A2 (akan mendapat slot automatik).

Selain itu, pihak AFL juga akan membuat penilaian terhadap pasukan sedia yang mana mereka akan dinilai dari segi kewangan, pengurusan dan kemampuan untuk bertanding.

Raimi bagaimanapun berkata pihak AFL akan mempertimbangkan pasukan yang dicalonkan oleh persatuan negeri sekiranya ada kekosongan slot.

Dalam pada itu, Raimi juga mengakui kehadiran KRW dalam saingan Liga A1 mampu membawa impak besar kepada liga berikutan sambutan luar biasa daripada peminat.

“Kalau ikutkan dari segi impak pun kita dapat lihat walaupun mereka belum lagi bermain di Liga A1 tapi kita dapat lihat bagaimana sambutan yang diberikan oleh penyokong-penyokong Kelantan sendiri jadi saya nampak ia akan memberi impak positif.”

Sementara itu, Raimi berkata biarpun peluang untuk KRW bermain di Liga A1 masih belum diputuskan, namun pihak AFL bersedia untuk mempertimbangkan pasukan itu jika ada kekosongan atau peluang.