Mampukah Harimau Malaya jadi pencabar pasukan gergasi Asia menjelang 2026?

Tahun 2024 bakal pun melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari lagi dan impian untuk peminat bola sepak Malaysia untuk melihat pasukan kesayangan untuk memperoleh kejayaan di kejohanan Piala AMEC 2024 tidak menjadi kenyataan selepas mereka tersingkir di peringkat kumpulan.
Disebalik keputusan yang tidak menyebelahi skuad Harimau Malaya, tahun ini merupakan tahun yang agak mencabar buat pasukan kebangsaan dengan pelbagai perkara yang sepanjang tahun ini.
Skuad negara kini berada dalam fasa kedua Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang diberi nama F:30 di mana tempoh untuk fasa kedua adalah dari tahun 2023 hingga 2026.
Berdasarkan Roadmap F:30, sasaran strategik untuk fasa kedua;
- Untuk berada di kelompok 100 pasukan terbaik dunia menjelang 2026.
- Untuk mendominasi rantau Persekutuan Bolasepak Asean menjelang 2023, dengan misi pasukan lawan gentar untuk berdepan Malaysia.
- Untuk mencabar pasukan gergasi Asia menjelang 2026.
- Untuk mencabar pasukan terbaik dunia pada 2030 dan seterusnya berada di kelompok 70 pasukan terbaik.
- Untuk bermain dan menang secara konsisten sekaligus menyemarakkan rakyat Malaysia.
- Untuk melaksanakan pemilihan yang lebih tegas dan baik serta membuka peluang juga pendedahan buat pemain ke peringkat bola sepak antarabangsa.
- Untuk menjadi pemimpin dalam bidang prestasi tinggi seperti perubatan dan sains sukan, logistik, media dan pengiklanan.
Melihat kepada sasaran yang diletak, ternyata sasaran untuk mendominasi rantau ASEAN menjelang tahun 2023 boleh dikatakan tidak tercapai berikutan skuad negara masih lagi bergelut apabila bertemu pasukan gergasi seperti Thailand dan Vietnam dan bukti yang jelas apabila kita tersingkir di peringkat kumpulan pada kejohanan Piala AMEC 2024 baru-baru ini.
Walaupun kegagalan skuad negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AMEC dek pelbagai perkara berlaku, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan.
Bagaimanapun ia tidak bermakna skuad Harimau Malaya tidak memperlihatkan peningkatan kerana banyak pencapaian yang diraih sepanjang tempoh 2023 dan 2024 dan kejayaan terbesar adalah berjaya melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 di Doha, Qatar selepas lebih 40 tahun.
Biarpun tersingkir pada peringkat kumpulan, namun kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat pasukan gergasi yang bermain di Piala Dunia iaitu Korea Selatan menjadi perlawanan terbaik skuad negara.
Tidak hanya itu, kedudukan ranking FIFA negara juga meningkat dengan mendadak yang mana pada tahun 2020 berada di kedudukan ke-154 tapi kemaskini pada 19 Disember 2024 telah menyaksikan Malaysia kini berada di kedudukan ke-132 dunia.
Tambahan pula, bola sepak tanah air bakal bakal berubah ke arah lebih baik lagi pada tahun 2025 menerusi Projek Revolusi yang dicetuskan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Langkah pertama sudah pun bermula apabila FAM telah mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski dan pelantikan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih untuk skuad B-23.
Beberapa pengumuman besar dijangka akan berlaku dalam masa terdekat ini kerana skuad negara kini dalam misi yang cukup penting untuk melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2027.
Terdahulu skuad negara terlepas peluang untuk layak secara automatik selepas gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 yang menyebabkan mereka terpaksa bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2025 yang dijadual akan berlangsung pada bulan Mac 2025.
Undian untuk pusingan ketiga kelayakan sudah pun berlangsung dengan pasukan Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.
Bagi kelayakan Piala Asia 2027 sedikit berbeza berbanding kelayakan Piala Asia 2023 kerana pada edisi lalu kerana kali ini hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke pusingan akhir.
Berbeza dengan kelayakan edisi lalu yang menyaksikan lima naib juara kumpulan terbaik turut layak dan perkara ini membuatkan kelayakan untuk edisi 2027 menjadi lebih sukar.
Dengan Projek Revolusi pasukan kebangsaan sudah bermula, ia diharap akan dapat memberi impak positif sekaligus dapat membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi dan menjadi pencabar serius di peringkat Asia dan dunia menjelang tahun 2026.