Akademi bola sepak seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ tapi peluang untuk pemain tempatan semakin kecil

179

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat menyaksikan perkembangan pesat akademi bola Sepak di seluruh Malaysia yang boleh diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Akademi-akademi ini ditubuhkan dengan fokus untuk membentuk generasi pemain muda yang boleh mengangkat martabat bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi, tapi sebaliknya berlaku apabila melihat situasi bola sepak tanah air ketika ini yang menyaksikan peluang untuk pemain tempatan semakin kecil.


Salah satu istu utama yang menyumbang kepada penyempitan piramid Pemain tempatan ialah peningkatan kuota pemain import dalam saingan liga profesioal iaitu Liga Super.

Dengan had sembilan pemain import dibenarkan untuk setiap pasukan, ruang untuk pemain tempatan untuk mendapat tempat semakin mengecil berikutan setiap kelab yang bertanding sudah semestinya akan menggunakan kesemua kuota import bagi memastikan mereka berpeluang untuk memberi saingan sekaligus cuba mencabar kejuaraan liga biarpun sedar kelab tidak mampu.

Kebergantungan yang tinggi kepada pemain luar tidak hanya mengurangkan peluang pemain tempatan untuk mendapat masa permainan, tetapi juga melambatkan proses pembangunan bakat mereka. 

Pemain tempatan yang masih muda dan sedang berkembang akhirnya terpaksa mencari peluang di liga bawahan atau sekadar menjadi pemain simpanan.

Ketiadaan liga divisyen dua iaitu Liga Perdana yang dibubarkan menyebabkan pemain-pemain muda sukar untuk mendapatkan pengalaman permainan kompetitif sekaligus ini memberi kesan kepada pasukan kebangsaan yang mana semakin kurang pemain berkualiti terutamanya dalam kalangan pemain muda.

Dengan trend penggunaan pemain warisan dan naturalisasi yang semakin popular menyebabkan peluang untuk pemain tempatan semakin mengecil.

Tidak hanya itu, masalah kewangan yang semakin parah dalam bola sepak tanah air ketika ini umpama barah kronik dengan terbaru dilaporkan enam pasukan yang beraksi di Liga Super kini berdepan masalah kewangan yang agak parah.

Jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan sebelum saingan liga musim 2024/25 tamat, berkemungkinan besar kesemua pasukan ini tidak akan dapat beraksi untuk musimg 2025/26 berikutan tidak mendapat Lesen Kebangsaan daripada Malaysian Football League (MFL).

Masalah ini bukan sahaja menjejaskan kelangsungan pasukan, tetapi mengurangkan lagi peluang pemain tempatan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Badan induk bola sepak negara dan pihak-pihak bertanggungjawab perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani isu yang sedang berlaku ketika ini supaya Malaysia tidak mengikut jejak langkah seperti negara jiran iaitu Singapore Premier League (SPL) yang hanya mempunyai sembilan pasukan sahaja bersaing.

Kewujudan banyak akademi bola sepak di negara menunjukkan perkembangan positif dalam pembangunan akar umbi, namun tanpa usaha untuk memperbaiki struktur liga, pengurangan kebergantungan kepada pemain import dan penyelesaian kepada masalah kewangan, kewujudan akademi-akademi bola sepak ketika ini tampak seperti sekadar untuk anak-anak muda mengisi masa lapang.

Jangan pernah lupa bahawa Malaysia pernah menjadi Raja Bola Sepak ASEAN pada tahun 2010 dengan hanya menggunakan pemain muda tempatan sepenuhnya, jadi diharap pemain tempatan akan terus diberi peluang dan platform untuk bersinar.