Selangor FC II dalam prestasi terbaik untuk julang Piala MFL musim ini

126

Saingan Piala MFL akan kembali bersambung pada minggu hadapan dan melihat kedudukan semasa Selangor FC II kini berada di landasan tepat untuk merebut trofi kejuaraan pada musim ini.

Ketika ini, Selangor menghuni tangga kedua liga dengan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), bagaimanapun mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan yang boleh menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan.


Selangor kini berada dalam momentum terbaik apabila mencatatkan keputusan cemerlang dalam lima perlawanan terakhir mereka, mengutip 13 mata daripada kemungkinan 15 mata.

Ia hasil daripada empat kemenangan dan satu keputusan seri sekaligus membuktikan konsistensi dan kekuatan pasukan kendalian Abdi Hassan.

Namun, baki lapan perlawanan liga akan menjadi ujian sebenar buat Selangor untuk mengekalkan momentum ini. 

Setiap mata menjadi penting, terutama ketika berhadapan dengan pasukan-pasukan seperti Terengganu FC II, Sri Pahang FC II, KL City Extention, Perak FC II, dan Kedah Darul Aman FC B kerana pasukan-pasukan ini sering memberikan saingan sengit.

Dengan kedudukan yang begitu rapat di puncak liga, peluang pasukan Gergasi Merah Kuning untuk meraih kejuaraan akan bergantung bukan sahaja pada prestasi mereka sendiri tetapi juga pada keputusan yang dicapai oleh JDT II. 

Sekiranya JDT II keciciran mata dalam baki saingan, peluang mereka untuk menamatkan musim sebagai juara akan menjadi lebih cerah.

Namun, Selangor tidak boleh terlalu bergantung pada keputusan pasukan lain. Konsistensi dan fokus dalam setiap perlawanan adalah kunci untuk memastikan mereka tidak keciciran mata.

Mereka juga perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan satu perlawanan yang mereka miliki untuk memberi tekanan kepada JDT II, selain perlu terus mengekalkan konsistensi yang telah ditunjukkan dalam lima perlawanan terakhir. 

Kini, semuanya terpulang kepada pasukan untuk memastikan detik kegemilangan ini terlaksana.