Top 3 penjaring terbanyak Piala MFL: Petanda penyerang tempatan mampu menyerlah jika diberi peluang
Saingan liga bawah 23 tahun (Liga Simpanan) atau dikenali sebagai Piala MFL musim 2024/25 menyaksikan perkembangan yang cukup positif apabila tiga penyerang tempatan berada dalam kedudukan Top 3 penjaring terbanyak.
Biarpun saingan Piala MFL masih lagi berbaki kira-kira lapan perlawanan tetapi ‘kehadiran’ ketiga-tiga penyerang muda dalam senarai penjaring terbanyak jelas memberi isyarat bahawa penyerang tempatan mempunyai potensi besar untuk menyerlah jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.
Penjaring terbanyak ketika ini dengan jumlah jaringan sebanyak 16 gol menjadi milik pemain sensasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) iaitu Gabriel Nistelrooy Tamin yang meletakkan namanya sebagai penyerang berbisa pada musim ini.
Ketajamannya di hadapan gawang menjadi elemen penting dalam kejayaan pasukannya dimana beliau bukan sahaja berupaya untuk mencipta ruang tetapi juga mampu menyudahkan peluang sekaligus menunjukkan kematangan permainnya.
Di tempat kedua pula adalah pemain muda dari pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Afeeq Iqmal Rosli yang berjaya menjaringkan sembilan gol setakat ini.
Walaupun pasukan dari utara itu kini dilanda masalah kewangan yang parah, namun ia tidak menjejaskan Afeeq untuk memperlihatkan ketajaman beliau di hadapan gawang dan terus konsisten sepanjang saingan liga.
Biarpun menggalas tanggungjawab besar tetapi Afeeq berjaya mengatasi segala cabaran dan menjadi wira apabila menjaringkan gol-gol penting untuk pasukan.
Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa penyerang tempatan sebenarnya mampu bersaing dengan pemain import sekiranya diberi tanggungjawab lebih besar di atas padang.
Manakala di kedudukan ketiga pula menjadi milik penyerang muda Selangor FC, Abdul Rahman Daud yang telah mempamerkan potensi besar sebagai penyerang masa depan untuk skuad utama dan negara.
Dengan lapan gol yang dijaringkannya, Abdul Rahman telah membuktikan dirinya sebagai ancaman utama di barisan hadapan dengan sentuhan klinikalnya serta keupayaan untuk berada di posisi terbaik memberikan nilai tambah kepada pasukan.
Prestasi cemerlang ketiga-tiga pemain ini diharapkan dapat membuka ruang untuk mereka diserapkan ke dalam skuad utama kelab masing-masing pada musim hadapan.
Langkah ini penting bagi memastikan mereka terus berkembang dengan pendedahan dalam perlawanan kompetitif.
Kejayaan tiga pemain ini adalah bukti bahawa penyerang tempatan mampu menyerlah apabila diberikan peluang.
Dalam liga yang selama ini menyaksikan dominasi pemain import di posisi penyerang, pencapaian ini adalah perkembangan positif untuk bola sepak negara.
Prestasi mereka juga membuka lembaran baharu untuk pasukan kebangsaan dengan kebolehan semula jadi dan pengalaman yang mereka peroleh di pentas domestik, Gabriel, Afeeq, dan Abdul Rahman berpotensi menjadi tunjang utama barisan serangan skuad Harimau Malaya.
Sebagai tambahan, adalah penting untuk kelab terus memberi ruang kepada pemain tempatan untuk bersinar.
Sokongan daripada pihak pengurusan dan peluang bermain di perlawanan kompetitif akan menjadi kunci kepada pembangunan mereka.
Mereka membuktikan bahawa penyerang tempatan memiliki bakat dan kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi jadi dengan bimbingan yang tepat, mereka bukan sahaja boleh menjadi aset kepada kelab masing-masing tetapi juga menjadi kebanggaan negara di pentas antarabangsa.