Tempoh pinjaman sudah tamat! Adakah Jalil Elias akan kembali memperkuat JDT atau dipinjamkan ke kelab lain lagi?
Tempoh pinjaman pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias ke Velez Sarsfield telah tamat dan pemain itu akan kembali ke pangkuan kelabnya tidak lama lagi.
Sepanjang tempoh pinjamannya di Velez Sarsfield, Jalil telah menjadi salah seorang tonggak utama pasukan yang telah membantu kelab dari Argentina itu menjadi juara Liga Profesional musim 2024.
Walaupun beliau tidak berjaya menjaringkan sebarang gol atau bantuan gol, namun sumbangannya jelas memberi impak positif kepada pasukannya.
Ketika menyarung jersi kelab itu, Jalil telah membuat sebanyak 19 penampilan iaitu 16 perlawanan dalam Liga Profesional dan tiga perlawanan dalam Copa Argentina untuk mengumpul sebanyak 841 minit permainan.
Disebalik kejayaan bersama kelab dari Argentina itu, masa depan Jalil bersama JDT masih lagi samar-samar dan menjadi tanda tanya sama ada beliau akan kembali memperkuatkan pasukan atau kembali dipinjamkan ke kelab lain lagi.
Ini kerana pemain berusia 28 tahun itu merupakan pemain import termahal di Liga Malaysia ketika ditandatangani oleh Harimau Selatan dengan nilai pasaran lebih RM15.2 juta.
Kehadiran Jalil bersama pasukan itu dikatakan untuk memperkuatkan JDT yang akan mengharungi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2024/25, tetapi sebaliknya berlaku apabila beliau dipinjamkan ke kelab lain selepas mempunyai penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super selama 69 minit.
Kini nasib Jalil terletak di tangan ketua jurulatih dan pengurusan JDT sama ada mahu menggunakan khidmatnya untuk baki saingan Liga Malaysia dan ACLE atau meminjamkannya semula ke kelab lain.
Pemain ini telah membuktikan bahawa beliau memiliki kualiti untuk bersaing di mana-mana liga, jadi apa pun keputusan dibuat, peminat pastinya berharap Jalil terus mempamerkan prestasi terbaiknya.