Prestasi KDA FC: Bukti semangat juang Sang Kenari di sebalik kemelut kewangan

114

Musim 2024/25 mungkin menjadi salah satu musim paling mencabar dalam sejarah Kedah Darul Aman FC (KDA FC). 

Di tengah kemelut kewangan yang serius, pasukan ini terus menunjukkan semangat juang yang tidak wajar dipandang remeh. 


Meskipun isu-isu dalaman mengancam kestabilan pasukan, Sang Kenari tetap mempamerkan prestasi yang mengejutkan ramai pemerhati bola sepak.

Krisis kewangan KDA FC menjadi tajuk utama sepanjang musim ini dengan laporan mengenai gaji pemain yang tertunggak sehingga sembilan bulan telah mencetuskan kekacauan dalam pasukan. 

Akibatnya, ketua jurulatih Nafuzi Zain mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan, dan beliau kini memimpin skuad kebangsaan bawah 23 tahun.

Masalah ini turut menyebabkan pemain-pemain utama seperti Sony Norde, Sukhrub Nurulloev, Cleyton Santos, dan Faiz Nasir menamatkan kontrak mereka. 

Malah, beberapa pemain lain dilaporkan memboikot perlawanan sebagai tanda protes. 

Situasi ini memberi tekanan tambahan kepada ketua jurulatih sementara, Victor Andrag, yang terpaksa membuat percaturan taktikal tanpa mengetahui siapa yang akan hadir untuk berlatih atau bermain.

Bagaimanapun, disebalik segala cabaran, Sang Kenari berjaya mengatasi jangkaan. pasukan ini kini berada di tangga ke-7 Liga Super selepas 17 perlawanan di mana pencapaian yang luar biasa bagi pasukan yang bergelut dengan masalah dalaman.

Tidak hanya itu, mereka juga melakar sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir MFL Challenge Cup dan bakal menentang juara bertahan PDRM FC dan sudah pasti mereka akan bermain mati-matian untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Jika mereka berjaya menjulang trofi ini, ia akan menjadi simbol keajaiban dan bukti semangat juang mereka di tengah segala keterbatasan.

Dalam pada itu, prestasi baik yang dipamerkan pasukan ini disumbang dari dedikasi luar biasa pemain, barisan kejurulatih dan staf pasukan yang tetap memberikan segalanya di atas padang walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Namun, masalah kewangan ini bukan sahaja menjejaskan musim semasa tetapi juga masa depan pasukan kerana jika isu ini tidak diselesaikan segera, Kedah berisiko tidak mendapat Lesen Kebangsaan, sekali gus mungkin terlepas peluang untuk bersaing dalam Liga Super musim hadapan.

Tambahan pula, tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-100, ini seharusnya menjadi detik bersejarah yang diraikan dengan kejayaan, bukan masalah. 

Oleh itu, pengurusan pasukan perlu segera bertindak untuk menyelesaikan isu kewangan ini demi memastikan kelangsungan bola sepak Kedah.