Matdon mahu kembali beraksi dengan memulakan langkah pertamanya bersama FC Schaffhausen
Pemain bola sepak naturalisasi Malaysia, Liridon Krasniqi memberi bayangan bahawa beliau akan kembali membuat penampilan di atas padang setelah sekian lama tidak bermain di liga profesional.
Liridon atau lebih dikenali dengan panggil Matdon telah memuat naik gambar dan videonya melalui platform media sosialnya, Instagram seperti sedang menjalani sesi ‘trial’ bersama sebuah kelab di Switzerland, FC Schaffausen yang beraksi dalam Divisyen 2 Challenge League.
Walaupun sudah berusia 33 tahun, Matdon tetap yakin bahawa dirinya masih mempunyai kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Beliau tidak pernah gentar untuk menghadapi cabaran tersebut dan terus berusaha meningkatkan prestasinya.
Kali terakhir Matdon beraksi di padang adalah bersama Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia.
Beliau dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menunjukkan prestasi yang cukup baik, namun, selepas kontraknya tamat bersama JDT, Matdon memutuskan untuk mencari peluang baru di luar Malaysia.
Setelah berhijrah ke Jerman, Matdon menyertai Baller League, sebuah liga bola sepak enam sebelah yang diasaskan oleh bekas pemain bola sepak profesional Mats Hummels dan Lukas Podolski.
Liga ini menekankan pengembalian kepada asas bola sepak, dengan memberi fokus kepada permainan yang tidak dapat diramal, nyata, dan berteknikal tanpa kekangan politik atau taktik yang terlalu ketat.
Matdon bermain untuk pasukan Gönrgy Allstars dalam liga tersebut dan telah berjaya menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan.
Prestasi cemerlangnya dalam Baller League menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai kualiti untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, rata-rata peminat Matdon dalam ruangan komen Instagramnya menyatakan harapan agar beliau kembali beraksi dalam Liga Malaysia, khususnya penyokong setia Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Matdon pernah menjadi pemain penting bagi Kedah pada suatu ketika dahulu dan memuat naik video pendek mengenakan jersi Sang Kenari yang melonjakkan namanya sebagai salah seorang pemain terbaik di liga pada waktu itu.
Peminat sangat berharap agar Matdon kembali ke Malaysia dan memberikan impak yang sama seperti dulu.
Reaksi positif ini jelas menunjukkan bahawa Matdon masih mempunyai tempat di hati peminat bola sepak tanah air.
Sementara itu, percubaannya untuk kembali beraksi di peringkat profesional memberi harapan besar kepada peminat dan juga dirinya sendiri.
Diharapkan percubaan beliau di FC Schaffhausen ini akan membuahkan hasil yang positif dan Matdon akan kembali beraksi di pentas bola sepak yang lebih besar.