Arif Aiman, Luqman Hakim, Mukhairi Ajmal wajib ada dalam skuad ke Piala AFC B-23 – DOKS

12,080

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata pemain berpengalaman seperti Mukhairi Ajmal, Arif Aiman, Luqman Hakim dan pemain utama asal wajib berada dalam skuad ke Piala AFC B-23 Jun depan.

Menurut Kim Swee, kegagalan skuad B-23 tahun negara di saingan Piala AFF B-23 semalam bukannya salah taktikal atau formasi yang diguna pakai ketua jurulatih Brad Maloney, sebaliknya beliau tidak mendapat pemain yang berkualiti.


“Bagi saya semua pemain terbaik harus dikumpulkan. Kita tidak boleh bersiap sedia dalam tempoh seminggu dan berkata ‘kita akan mendapatkan pemain terbaik’. Kita perlu faham di sini pemain remaja kita kebanyakan tidak bermain di Liga Super atau di liga-liga penting.

Kita perlukan pemain berkualiti seperti skuad asal B-23 yang mana kita dapat tengok ketika di Mongolia kita layak ke saingan Piala AFC menggunakan formasi yang sama. Sebagai seorang jurulatih jika saya lihat formasi itu mendapat hasil dan pemain-pemain dapat adaptasi dengan formasi yang saya gunakan saya tidak akan tukar.

Tetapi apabila saya bermain dengan sistem yang sama dengan pemain yang berlainan akan pasti berlaku perbezaan. Bermakna kualiti penting,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: FAM Facebook

Tambah ketua jurulatih Sabah FC ini lagi, selain tidak berkualiti dan tidak mempunyai pengalaman, mereka juga tidak dapat menyerap tekanan dan kritikan terutamanya selepas mereka tewas pada perlawanan pertama.

“Apabila mereka bermain di bawah tekanan terutamanya apabila kita mahukan kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama menyaksikan pemain tidak boleh menyerap tekanan. Sebab itu anda dapat melihat banyak kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan pemain sehingga ia memakan diri sendiri.”

Sumber foto: FAM Facebook

Kim Swee berkata, sekiranya pemain bermain di Liga Super, mereka sudah biasa dengan permainan berintensiti tinggi jadi apabila mereka dikumpulkan, pemain tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan dengan intensiti kejohanan antarabangsa.

Oleh sebab itu, untuk dua kejohanan besar akan datang iaitu Piala AFC B-23 dan Sukan SEA, Maloney perlu diberikan pemain-pemain terbaiknya sekiranya mahu keputusan yang positif.

Semalam peminat bola sepak tanah air dikecewakan sekali lagi apabila apabila skuad negara tersingkir awal dari saingan Piala AFF B-23 yang berlangsung di Kemboja selepas tewas dua kali di tangan pasukan Laos.

Sumber foto: FAM Facebook

Skuad negara pada mula diramal akan mudah ke separuh akhir apabila juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri akibat COVID-19 menyaksikan hanya tinggal dua pasukan iaitu Malaysia dan Laos menyebabkan mereka perlu bermain dua kali bagi menentukan siapa yang akan layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun nasib malang menimpa Harimau Malaya apabila mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan dengan keputusan 2-1 dan 2-0.