Hannah Yeoh mahu pencarian bakat atlet paralimpik diperbanyakkan

108

Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu negara tidak kekurangan bakat atlet paralimpik namun menekankan pentingnya usaha berterusan untuk mencari dan membangunkan bakat baharu.

Ini kerana menurut Hannah, negara tidak boleh bergantung harap kepada atlet paralimpik sedia ada sahaja untuk menyumbang pingat buat negara.


“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Ziyad, Bonnie atau Cheah Liek Hou sahaja. Jadi tahun ini saya sudah memberitahu JBSN dan MSN supaya mereka bekerja keras untuk memperbanyakkan program pencarian bakat,”

katanya.

Dengan penekanan pada pembangunan bakat jangka panjang, Hannah berharap dapat memastikan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa berterusan.

Impian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik masih lagi gagal sehingga kini, bagaimanapun atlet paralimpik lebih cemerlang apabila sudah berjaya  membawa pulang sebanyak lapan pingat emas, enam pingat perak dan tujuh pingat gangsa.

Terdahulu, Hannah ditemui di Majlis Penyerahan kenderaan kepada Pemenang Pingat Paralimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Hannah turut mengulas mengenai penggantian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) di mana beliau berkata proses tersebut sedang berjalan lancar.

“Kami menerima lebih dari 19 permohonan termasuk calon dari dalam dan luar negara. Proses ini akan dilakukan dengan teliti untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada atlet tidak terganggu.”

ISN, sebagai agensi utama dalam menyediakan sokongan saintifik dan teknologi kepada atlet memainkan peranan penting dalam persiapan mereka untuk menyertai temasya.

Sementara itu, Hannah juga berkata pentingnya kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan badan sukan yang mana diharap dengan pendekatan menyeluruh dan sokongan berterusan, Malaysia diharap dapat terus mencipta kejayaan.

“Kita perlu memastikan pembangunan bakat baharu menjadi keutamaan, supaya masa depan sukan negara terus cerah.”