Kami patut fokus pada prestasi bukan fokus pada cuaca – Katsuhito Kinoshi

220

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata pasukan perlu memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya kepada prestasi dan bukannya pada cuaca menjelang perlawanan separuh akhir kedua MFL Challenge Cup menentang Penang FC pada Ahad ini.

Menurut Katsuhito Kinoshi, misi utama mereka ketika ini adalah untuk mendapatkan keputusan lebih baik sebelum ini.


“Itu adalah misi utama kami, setiap perlawanan memberikan pengajaran berharga dan kami bertekad untuk terus berkembang menerusi refleksi dan analisis setiap keputusan yang diperoleh.

Untuk perlawanan seterusnya, kami berharap cuaca akan lebih baik tetapi fokus utama kami bukanlah pada cuaca, sebaliknya pada prestasi dan strategi permainan,”

katanya.

Selangor akan turun pada perlawanan separuh akhir kedua tidak hanya dengan kelebihan satu gol tetapi juga akan bermain di tempat sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam pada itu, Katsuhito turut memuji dua pemain iaitu Quentin Cheng dan Aliff Haiqal yang mempamerkan prestasi yang cukup baik sejak kebelakangan ini.

“Beberapa pemain telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Sejak November, saya sentiasa turunkan Cheng dan beliau menunjukkan prestasi yang baik di mana beliau sentiasa berjaya menembusi pertahanan lawan dan hampir menjaringkan gol, tapi masih ada ruang untuk beliau terus berkembang.

Satu lagi pemain yang patut diberikan perhatian adalah Aliff Haiqal yang mula menunjukkan potensi sebenar. Beliau sentiasa berlari lebih 11 kilometer dalam setiap perlawanan dan pergerakan bolanya sangat baik. Statistiknya menunjukkan beliau telah menyumbang empat gol (jaringkan & bantuan gol). Ini menjadikannya salah seorang pemain tempatan terbaik dalam skuad kami.”

Sementara itu, Katsuhito mengakui penyokong The Red Giants adalah sumber motivasi terbesar pasukan yang mana mereka sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira keadaan.

Oleh itu, beliau mahu pasukan membalas dengan memberikan prestasi terbaik dan keputusan yang membanggakan.