Lambakan akademi bola sepak, apa kesan kepada pemain muda?

1,420

Penambahan sebanyak tujuh lagi Akademi Tunas di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang diumumkan baru-baru ini dilihat seolah-olah akan menyebabkan lambakan kepada pemain-pemain bola sepak di peringkat akar umbi.

Jika dilihat daripada satu sudut, sebenarnya bagus untuk mempunyai banyak akademi di bawah NFDP mahupun akademi bola sepak persendirian. Ianya secara tidak langsung dapat membantu pemain-pemain yang berbakat untuk mempamerkan aksi dan skil yang mereka ada di tempat yang sepatutnya.


Secara tidak langsung, jurulatih di peringkat umur mahupun peringkat lebih senior akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih pemain yang menepati kriteria yang diinginkan.

Namun, hakikat yang perlu kita sedar bahawa tidak semua pemain-pemain ini mempunyai peluang yang sama rata untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

Ada di antara mereka ini hanya mampu beraksi pada peringkat umur namun apabila menjengah usia dewasa, peluang sudah tertutup untuk mereka. Bukan bermakna mereka tidak bagus, namun harus diingatkan struktur liga bola sepak di Malaysia tidak mempunyai banyak pasukan yang bertanding.

Jadi, ke manakah pemain-pemain yang tidak bernasib baik ini akan pergi untuk mempamerkan bakat mereka? Adakah hanya sekadar beraksi dalam liga-liga amatur sahaja kerana peluang untuk menjadi pemain profesional nampak samar.

Bagi pemain-pemain yang bernasib baik dipilih mewakili pasukan-pasukan negeri yang bertanding dalam kejohanan bawah umur, mereka mempunyai peluang untuk terus menunjukkan kemampuan mereka dalam kejohanan seperti Piala Belia dan Piala Presiden.

Namun, ketiadaan kejohanan ini selama dua musim berturut-turut setelah dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, ianya seolah-olah memberikan kesan kepada pemain-pemain ini untuk mengekalkan kecergasan mereka bermain dalam aksi-aksi kompetitif.

Bagaimana mereka mahu untuk beraksi di peringkat tertinggi jika platform untuk mereka beraksi semasa remaja tidak dapat dianjurkan?

Hasilnya dapat dilihat jelas melalui kegagalan skuad negara yang tumpas dua perlawanan berturut-turut kepada Laos dalam Kejohanan AFF bawah 23 tahun di Kemboja. Pemain-pemain kelihatan gugup, tidak bersedia dan dilihat tidak cergas sepanjang perlawanan berlangsung.

Sudah pasti perkara yang berlainan akan berlaku jika mereka mendapat minit permainan yang cukup sekiranya kejohanan peringkat umur ini tidak dibatalkan. Pemain-pemain akan mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan biarpun bukan skuad utama yang dibawa kali ini.

Selain daripada pembatalan dua kejohanan tersebut, isu-isu lain seperti terlalu memfokuskan kepada naturalisasi, pemain-pemain import dalam liga dan lain-lain juga dilihat seolah-olah menutup periuk nasi pemain-pemain muda yang ingin beraksi pada pentas tertinggi.

Kesimpulannya, biarpun mempunyai banyak akademi terutamanya daripada NFDP, ianya tetap tidak akan menyelesaikan isu prestasi mundur yang berlaku kepada skuad negara. Malah ianya akan menyebabkan lambakan pemain-pemain yang tidak mempunyai peluang beraksi di peringkat tertinggi.

FAM selaku badan bertanggungjawab perlulah merangka satu perancangan demi memastikan kelangsungan pemain-pemain di peringkat akar umbi ini dan jangan hanya membiarkan mereka terumbang-ambing bersaing dengan lambakan pemain-pemain muda yang sudah sedia ada.