Beraksi di Liga Super atau Liga Perdana musim hadapan? Melaka FC tunggu keputusan MFL

Melaka FC telah mencipta sejarah apabila dinobat sebagai juara liga semi-profesional Liga A1 untuk musim ini biarpun saingan liga berbaki dua perlawanan sekaligus menandakan kebangkitan semula bola Sepak di negeri itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka FC iaitu Muhammad Najmi bin Muhammad Nordin, beliau berasa cukup teruja dan bangga apabila pencapaian yang diaraih melebihi sasaran awal pasukan.
Najmi turut berkata kejayaan tersebut tidak datang dengan mudah, ia adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan, barisan kejurulatihan yang diketui K. Devan serta dedikasi para pemain.
“Pada awal musim, kami hanya menyasarkan untuk berada dalam dua pasukan terbaik Liga A1, namun Alhamdulillah kami berjaya muncul sebagai juara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dengan kejayaan menjuarai Liga A1, persoalan kini timbul di mana Melaka akan beraksi pada musim hadapan berikutan ketika ini terdapat spekulasi mengenai kembalinya saingan Liga Perdana, yang mungkin menjadi platform idea buat Melaka sebelum melangkah ke Liga Super.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Najmi menjelaskan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak Malaysian Football League (MFL).
“Kita belum dapat keputusan rasmi daripada MFL sama ada Liga Perdana akan diperkenalkan semula atau tidak. Begitu juga dengan peluang untuk ke Liga Super. Kami perlu melakukan perbincangan mendalam dengan beberapa pihak sebelum menentukan hala tuju pasukan.”
Tegasnya lagi, keputusan tersebut bergantung kepada faktor kewangan dan kestabilan kelab, kerana beraksi di Liga Super memerlukan bajet yang besar, oleh itu, jika Liga Perdana diperkenalkan semula, ia mungkin menjadi pilihan terbaik buat Melaka untuk membangun secara bertahap dan lebih stabil.
Sementara itu, Najmi pada masa sama turut memberikan penghargaan terhadap penyokong Melaka yang sudah kembali turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.
“Pada perlawanan sebelum Melaka dinobatkan sebagai juara, kita dapat lihat kebangkitan semula penyokong yang memenuhi stadium. Ini adalah perkembangan yang sangat positif untuk bola sepak Melaka.”
Oleh itu, beliau berharap baki dua perlawanan terakhir liga menentang Bunga Raya Damansara dan Machan FC, penyokong akan terus memberikan sokongan padu bagi memastikan momentum kemenangan dapat dikekalkan.