Misi belum selesai, KDA FC perlukan lagi 12,500 ahli The Wing untuk bantu selamatkan pasukan

584

Semua sedia maklum kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini berada dalam situasi yang cukup sukar berikutan mereka menghadapi masalah kewangan yang cukup parah.

Bagi menangani masalah ini, pihak pengurusan kelab KDA FC telah melancarkan plantar (platform) keahlian secara virtual yang dikenali sebagai The Wing bagi memberi banyak faedah dan manfaat kepada ahli yang berdaftar.


Sejak dilancarkan pada 31 Januari lalu oleh pemilik saham terbesar Sang Kenari iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, seramai 7.500 orang telah mendaftar sebagai ahli The Wing.

Misi belum selesai kerana masih berbaki 12,500 pendaftaran diperlukan untuk mencapai sasaran 20,000, oleh itu inilah masanya untuk seluruh peminat Hijau Kuning berganding bahu, menyumbang tenaga dan menjadi KDA kembali gagak sebagai kelab kebangsaan negeri.

Sasaran 20,000 ahli bukan sekadar angka sebaliknya ia adalah kunci untuk membuka dana penajaan antarabangsa yang besar, di mana dana ini akan menyelamatkan kewangan kelab, melunaskan hutang, dan memastikan pasukan bersedia menghadapi musim baru dengan lebih kukuh. 

Setiap pendaftaran ahli baru bukan sahaja memberi manfaat peribadi, malah menjadi “talian oksigen” untuk kelab terus bernafas!

Bagi peminat yang mendaftar sebagai ahli, mereka akan menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif antaranya:

  1. Kad Diskaun untuk penjimatan membeli-belah.
  2. Program Kesetiaan (Royalty Programme) dengan ganjaran istimewa.
  3. Jemputan Eksklusif ke program dan aktiviti kelab.
  4. Kemudahan Pembayaran yang pantas dan fleksibel.
  5. Manfaat Masa Depan yang akan ditambah dari semasa ke semasa.

Pendaftaran The Wing tidak hanya menyumbang kepada kelangsungan pasukan tetapi ia adalah peluang untuk membuktikan bahawa ‘Keluarga Hijau Kuning’ tetap utuh dan bersemangat tinggi.

KDA FC bukan sekadar kelab bola—ia adalah warisan, kebanggaan, dan identiti kita.

Untuk maklumat lanjut atau cara mendaftar keahlian, anda boleh layari laman web KDA FC.