Dollah Salleh sedia bawa perubahan dalam bola sepak tanah air selepas dipilih jadi Naib Presiden FAM

294

Lagenda bola sepak negara, Dato’ Dollah Salleh telah mencipta sejarah selepas beliau dipilih menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Kongres FAM ke-61 yang berlangsung hari ini.

Pelantikan Dollah menyaksikan ini kali pertama bekas pemain bola sepak profesional memegang jawatan tinggi dalam hierarki FAM sekaligus memberi harapan baru untuk transformasi bola sepak negara.


Menurut Dollah, beliau bersyukur atas pemilihannya untuk menjawat jawatan tersebut dan sudah bersedia berkongsi pengalaman dan bawa perubahan dalam bola sepak negara.

“Alhamdulillah, saya sedia berkongsi pengalaman. Saya risau juga dengan khabar angin persaingan sebelum ini tapi Alhamdulillah, akhirnya saya terpilih.

Sebagai bekas pemain dan pengurus saya akan gunakan pengalaman 30-40 tahun dalam bola sepak untuk membantu FAM,”

katanya.

Biarpun masih belum tahu tugasnya nanti, Dollah menekankan kesediaannya menjalani apa sahaja tugasan, termasuk memimpin program pembangunan akar umbi.

“Saya tiada keraguan, apa pun tugas yang diberikan, saya akan lakukan yang terbaik demi kemajuan bola sepak Malaysia.”

Dalam pada itu, Dollah yang cukup teruja apabila rakan baiknya yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Datuk Zainal Abidin turut terpilih dalam Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal kali ini mendedahkan mereka sudah mempunyai perancangan untuk lakukan perubahan.

“Kami ada ideanya. Contohnya, bagaimana meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan dan membangunkan bakat muda. Tapi biarlah kami berbincang dulu dengan pihak FAM sebelum kami kongsikan secara terbuka.

Kita tak mahu sekadar duduk dalam jawatan sebaliknya kita nak lihat peningkatan konkrit, dari liga tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.”

Sementara itu, Dollah juga menekankan keperluan untuk sistem pembangunan pemain yang lebih terstruktur iaitu fokus pada akademi, pemantauan bakat dan program latihan berstandard tinggi untuk lahirkan generasi pemain yang berkualiti.