Kalamullah Al-Hafiz waspada ancaman Sabah FC

345

Penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz waspada ancaman Sabah FC menjelang perlawanan Liga Super yang akan berlangsung esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut Kalamullah, biarpun Sabah kini berada di kedudukan ketiga liga namun ia tidak bermakna mereka boleh memandang rendah pasukan lawan sebaliknya perlu fokus bagi memastikan mereka berjaya memperoleh kemenangan.


“Serangan mereka sangat teratur, terutamanya dari ‘midfield’ jadi kami perlu perketat pertahanan dan hadapi mereka dengan strategi lebih agresif.

Boleh katakan jaringan Mereka juga lebih banyak daripada Selangor,”

katanya.

Kalamullah berkata dengan baki lima perlawanan, beliau berkata ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi akan memperbaiki kelemahan pasukan.

“Saya harap Coach Kino akan memperbaiki kelemahan kami dan kami harap perlawanan menentang Sabah ini kami akan lebih fokus. Bagi saya, Sabah ini pasukan yang kuat di Malaysia.

Berada di carta top 3 sekarang ini dan dengan baki lima perlawanan, apa pun boleh jadi. Oleh itu, kita perlu kekal fokus dengan dengan perancangan kita. Setiap mata amat berharga.”

Dalam pada itu, Kalamullah juga berharap agar penyokong akan turun ke stadium bagi memberikan sokongan buat pasukan kesayangan.

“Sokongan dari penyokong adalah suntikan semangat terbaik. Kami janji akan berikan usaha 200% di padang nanti.”

Sementara itu, Kalamullah yang menyertai Gergasi Merah pada pertengahan musim masih belum berpuas hati dengan prestasinya buat masa ini dan bertekad mahu terus bekerja keras.