Bunga Raya dalam persiapan untuk aksi ‘play-off’ menentang Sri Lanka

103

Kapten pasukan ragbi kebangsaan, Syarif Nurhidayat memberitahu bahawa pasukan kini berada dalam fasa kedua persiapan, dengan senarai pendek 30 pemain akan diumumkan selepas bulan Ramadan.

Skuad Bunga Raya akan turun menentang Sri Lanka dalam perlawanan ‘play-off’ Kejuaraan Ragbi Asia Emirates Lelaki 2025.


Menurut Syarif, kehadiran Saizul sebagai ketua jurulatih telah membawa pendekatan baharu kepada pasukan dan pemain kini sedang menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan.

“Ada yang sudah biasa dengan Coach, ada yang baru. Jadi, fasa pertama kem latihan lebih kepada mengenali pendekatan jurulatih dan bagaimana kami boleh menyesuaikan diri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya, skuad kali ini akan menyaksikan gabungan pemain junior dan senior.

Syarif pada masa sama turut mengakui bahawa pasukan lawan bukan lawan yang mudah kerana mereka terkenal dengan gaya permainan kasar dan fizikal.

Dalam pada itu, Syarif turut teruja apabila jenama pakaian sukan tempatan terkemuka tanah air Kaki Jersi telah tampil menjalin kerjasama dengan Kesatuan Ragbi Malaysia yang mana beliau sifatkan memberi mereka semangat baru kepada pemain.

“Alhamdulillah, dengan penajaan baru bersama KJC ini, kita dapat lihat satu aura baru. Sebelum ini, kita tidak pernah ada kolaborasi dengan jenama yang sudah kukuh dalam bola sepak. 

Bila kita pakai pakaian mereka semasa kem latihan, kita dapat rasakan keselesaan yang sesuai untuk ragbi.”

Selain keselesaan pakaian, Syarif turut menyatakan bahawa penajaan ini meningkatkan moral pasukan menjelang perlawanan penting menentang Sri Lanka dalam pusingan kelayakan nanti.