Farkhan Haron kecewa dituduh atur perlawanan dan ‘body shaming’

460

Bekas pentinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron, meluahkan rasa kecewa selepas dituduh mengatur perlawanan terakhirnya menentang peninju India, Jaskaran Singh yang telah menyaksikan petinju negara berjaya menang secara TKO (Tecnical Knockout).

Kemenangan Farkhan di Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) sekaligus menyaksikan beliau berjaya mempertahankan tali pinggang Bridgeweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia.


Menurut Farkhan, tuduhan bahawa beliau mengatur perlawanan adalah tidak berasas dan mencemarkan reputasi serti integriti sukan tinju dan beliau sebagai seorang atlet profesional menegaskan bahawa setiap pertarungan yang dilaluinya adalah hasil latihan yang ketat dan persiapan yang rapi.

“Saya sudah bertahun-tahun dalam sukan ini, berkorban banyak perkara dan berlatih bersungguh-sungguh untuk setiap perlawanan. Tuduhan seperti itu bukan sahaja tidak adil tetapi juga menjatuhkan semangat atlet yang benar-benar berusaha.

“Jadi kalau nak cakap perkara-perkara yang tak masuk akal saya sebenarnya malas nak layan tapi saya agak terkilan kerana orang cakap kita atur perlawanan dan sebagainya. Saya adalah satu-satunya peninju dalam negara kita yang berjaya menang kategori WBC Asia Champion,”

Katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Farkhan lagi, setiap perlawanan tertakluk kepada WBC Asia yang mana pihak WBC Asia sendiri telah memilih Jaskaran Singh sebagai lawannya.

Jelasnya lagi, pemilihan Johor sebagai tuan rumah pula adalah kerana mereka membida untuk jadi tuan rumah.

Dalam pada itu, selain tuduhan mengatur perlawanan Farkhan turut menjadi mangsa kecaman fizikal atau ‘body shaming’ di media sosial di mana ada segelintir netizen yang mengkritik bentuk fizikal dengan kata-kata menghina.

Farkhan berkata sepanjang kariernya sebagai peninju profesional, beliau sudah bertanding dalam sembilan kategori berat iaitu bermula dari kategori 54kg, 57kg, 60kg, 64kg, 69kg, 75kg, 79kg, 90kg dan kategori terbaru 101.6kg.

“Saya tak kisah mereka nak ‘body shaming’ saya sebab pada saya, apa-apa pun ‘is about your skill and your IQ, how you fight’ atas gelanggang. Jadi macam saya kata 6 pack ini saya sudah ada masa umur 15-16 tahun jadi saya sudah tidak hairan, kerana fokus saya nak menang saja.”

Beliau pada masa sama turut memberikan contoh mengenai peninju ‘heavyweight’ dari Mexico iaitu Andy Ruiz yang mempunyai fizikal sepertinya tetapi berjaya menang ke atas peninju Anthony Joshua menerusi KO.

Oleh itu, Farkhan berharap agar masyarakat akan lebih menghargai usaha dan pengorbanan atlet tempatan serta mengelakkan tuduhan melulu tanpa bukti termasuk menyeru agar netizen lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan tidak menjadikan kecaman sebagai budaya normal.

Sementara itu, Farkhan menamatkan karier sebagai peninju profesional dengan rekod bersih tanpa kekalahan 13-0-0.