MFL umum harga tiket final Piala Malaysia bermula serendah RM50
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan harga tiket untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April 2025 (Sabtu), pukul 9.00 malam.
Perlawanan puncak musim ini akan menyaksikan pertembungan sengit antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, mengesahkan tiada perubahan harga tiket berbanding musim lalu iaitu empat kategori tiket ditawarkan:
General Admission: RM50 dan RM70 (bergantung pada blok tempat duduk).
UNIFI Premium: RM150 (akses ke zon premium dengan kemudahan tambahan).
UNIFI VIP Grandstand: RM200 (tempat duduk eksklusif di tribun utama).
Keputusan ini diambil bagi memastikan aksesibiliti penyokong dari semua lapisan masyarakat.
“Kami berharap penetapan harga ini memudahkan perancangan penyokong untuk hadir memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing,” ujar Mohd Shazli.
Dalam pada itu, pihak MFL memilih untuk menyerahkan urusan jualan tiket sepenuhnya kepada kedua-dua kelab finalis, JDT dan Sri Pahang FC.
Langkah ini bertujuan memastikan proses pengagihan adil dan sistematik, terutama bagi mengelakkan isu “scalping” atau pembelian tidak terkawal.
Penyokong dinasihatkan mengikuti hebahan rasmi kelab untuk maklumat pembelian tiket yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pertama Perlawanan Akhir telah diadakan hari ini bagi membincangkan aspek logistik, keselamatan, dan agihan tiket.
Sementara itu, JDT, juara bertahan yang mendominasi liga tempatan, akan berusaha mempertahankan gelaran Piala Malaysia buat kali ke-5 berturut-turut.
Manakala Sri Pahang FC, yang terakhir menjuarai Piala Malaysia pada 2014, bakal berusaha menamatkan dominasi JDT.