Lakukan perubahan drastik dalam BAM untuk selesai segala kemelut – Roslin Hashim

172

Bekas pemain badminton No. 1 Dunia, Roslin Hashim memberitahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan satu perubahan drastik untuk menyelesaikan segala kemelut yang masih berlaku sehingga kini.

Roslin berkata demikian apabila ditanya mengapa pemain-pemain junior berbakat negara apabila sudah menjadi pemain senior mereka tenggelam.


“Ini satu isu atau perkara yang bukan baru kerana benda ini sudah lama berlaku, tetapi kenapa sehingga kini perkara itu masih lagi berlaku sekarang ini.

Saya sendiri juga pernah mengalaminya. Apa yang berlaku dalam badan induk itu adalah benda yang sama walaupun individu berbeza. Inilah yang perlu kita atasi kerana untuk selesaikan sesuatu masalah, kita perlu kenal pasti terlebih dahulu masalah itu dan sekiranya dapat mengenal pasti punca dan selesaikan, pasti semuanya akan kembali okay,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya Roslin, beliau tidak berniat untuk mengkritik badan induk badminton itu membuta-tuli, sebaliknya bercakap demi kebaikan badminton negara.

Jelasnya lagi, Malaysia kini bukan lagi berada dalam kelompok top 3 gergasi badminton dunia seperti satu ketika dahulu kerana kini negara-negara lain yang sebelum ini ketinggalan jauh semakin hebat.

Antara pasukan yang semakin digeruni adalah Jepun, Korea Selatan, Thailand, India, Taiwan, Hong Kong dan beberapa lagi.

Dalam pada itu, pemain badminton berusia 46 tahun itu turut mengimbas kontroversi membabitkan dirinya dengan BAM pada tahun 2007 apabila persatuan itu terlupa untuk memasukkan namanya dalam kejohanan Super Series Indonesia dan Super Series Singapura.

“Ketika itu saya mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi perlu menyertai tiga kejohanan terakhir untuk layak, tetapi apabila saya tidak dapat beraksi di Singapura dan Indonesia, ranking saya jatuh teruk sekaligus saya tidak layak.

Sukan Olimpik pada tahun 2008 merupakan yang terakhir untuk saya, oleh sebab itu saya mahu layak tetapi apabila jadi macam tu saya rasa marah, geram, sedih dan bermacam-macam lagi kerana impian saya terhalang oleh ‘tangan ghaib’.”

Sementara itu, Roslin turut gembira apabila pasukan badminton lelaki negara berjaya menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia 2022 baru-baru ini selepas menumpaskan Indonesia di peringkat akhir.