Kelab Liga Malaysia patut pertimbang ambil pemain import dari Laos dan Asia Tenggara
Semalam seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak kecewa lagi apabila skuad negara tersingkir awal di saingan Piala AFF B-23 di Kemboja.
Lebih memeritkan apabila skuad kendalian Brad Maloney tumpas dua kali kepada pasukan ‘kerdil’ Laos walaupun pada mulanya Harimau Muda diramal mampu ke separuh akhir selepas juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri akibat COVID-19.
Walaupun kalah, namun peminat bola sepak mula memberi perhatian kepada kapten pasukan Laos iaitu Bouncpachan Bounkong yang menjadi pemain penting dalam membawa pasukannya meraih kemenangan.
Ia sekaligus membuka mata ramai terhadap kualiti pemain-pemain muda Laos yang sebelum ini dipandang rendah keupayaan mereka dek kualiti liga mereka yang rendah apabila hanya ada lima kelab sahaja bermain di sana.
Dengan rata-rata pemain Laos yang berusia 19 tahun, kelab bola sepak Liga Malaysia rasanya boleh mengubah pemikiran mereka dari mengambil pemain import dari negara seperti Afrika, Eropah, Amerika Latin dan beberapa lagi yang lebih mahal sebaliknya perlu cuba ambil pemain berkualiti dari Laos.
Kelab di Malaysia perlu membuang sifat skeptikal dengan pemain muda dari negara Asia Tenggara lain terutamanya dari negara seperti Laos kerana kualiti pemain mereka semakin meningkat saban tahun.
Dengan prestasi yang bagus, pasukan di Liga Malaysia sepatutnya mula memancing pemain-pemain ini bagi mengisi slot pemain import.
Ya memang kita sudah ada satu slot untuk pemain Asia Tenggara, tetapi apa salahnya jika kelab gunakan slot import lain untuk pemain dari rantau Asia Tenggara.
Pemain-pemain ini sudah pasti tidak akan meminta gaji ratusan ribu seperti pemain import lain, jadi ia secara tidak langsung dapat mengelakkan kelab dari terjerumus dalam masalah gaji pada masa akan datang.
Malah mereka juga dapat menjana pendapat sekiranya pemain yang mereka beli ketika usia muda menjadi fenomena jika ada kelab lain yang ingin mendapatkan khidmatnya.
Memandangkan Malaysia sudah negara yang turut mempunyai ramai pekerja yang berasal dari Asia Tenggara, pengambilan pemain mereka pasti akan menarik peminat baru.
Mungkin ramai yang sudah lupa akan impak pemain import dari Asia Tenggara terhadap industri bola sepak tanah air.
Pada tahun 2005, pasukan Selangor telah membawa masuk dua pemain sensasi Indonesia ketika itu iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
Dengan negeri Selangor sememangnya mempunyai ramai orang Indonesia yang mencari rezeki di negeri itu, Selangor mula mendapat peminat baru dari negara seberang yang turut datang ke stadium setiap kali pasukan itu turun beraksi.
Ia bukan sahaja dapat menjana pendapat dari segi penjualan tiket dan jersi, tetapi ia juga dapat membawa nama kelab itu ke persada antarabangsa.
Bukti kejayaan sudah ada, tetapi kenapa sehingga kini kelab-kelab di Liga Malaysia lebih cenderung untuk memilih pemain-pemain import yang jauh lebih mahal? Sampai bila persepsi pemain import dari rantau Asia Tenggara seperti Laos dan Myanmar tidak berkualiti akan berterusan?
Mereka sudah pun membuktikan bahawa tanpa fasiliti bertaraf dunia mereka turut mampu bersaing pada tahap tertinggi. Jadi inilah masanya untuk kelab-kelab di Liga Malaysia membuka mata dan cuba sesuatu yang baru yang lebih kos efektif.