Kita perlu memberikan segala-galanya untuk mendapatkan tiga mata – Peter Cklamovski

Ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menyuarakan keyakinan beliau menjelang aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) esok.
Menurut Cklamovski, tempoh lapan hari bersama skuad kebangsaan memberi gambaran jelas tentang semangat pemain.
“Saya sangat menikmati kem latihan ini. Pemain-pemain menunjukkan kelaparan untuk berkembang setiap hari. Ini pendekatan terbaik untuk membina pasukan kuat,”
katanya.
Beliau menekankan prinsip utama pasukan: “Menjadi lebih baik setiap hari” dengan fokus latihan adalah membentuk kesebelasan utama yang beraksi sebagai satu unit padu.
“Kami meletakkan asas konsep permainan dan hubungan antara pemain. Malam ini, sesi latihan terakhir akan menyempurnakan persiapan.”
Daripada 30 pemain, tujuh terpaksa dikeluarkan daripada senarai akhir dan Cklamovski menegaskan keputusan itu terpaksa dibuat berdasarkan peraturan, bukan kemahuan.
“Semua pemain beri komitmen tinggi. Bagi yang tidak terpilih, kekal bersedia. Kami satu pasukan, satu negara. Mengenai dua pemain warisan baharu? Anda perlu tonton esok. Biar ia jadi kejutan.”
Dalam pada itu, Cklamovski mengakui pasukan Nepal bukan lawan yang mudah selepas mereka mempamerkan prestasi cemerlang selepas berjaya menewaskan Singapura.
Beliau juga menolak tanggapan Malaysia sebagai “pasukan pilihan” berdasarkan ranking: “Ranking tak penting. Yang penting strategi tepat dan disiplin selama 90+ minit.”
Perlawanan esok menandakan debut Cklamovski sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dan beliau berhasrat mahu bawa skuad negara ke tahap tertinggi kerana mahu rakyat Malaysia berasa bangga.
Sementara itu, walaupun hanya lapan hari bersama pasukan, Cklamovski yakin pemahaman pemain terhadap konsepnya semakin kukuh.
“Saya tak mahu permainan sempurna esok, tapi cukup dengan penerapan prinsip latihan. Jika berjaya, kami akan jaring gol dan main menarik.
Kami perlu juara kumpulan. Tempat kedua bukan pilihan. Mentaliti kemenangan mesti dibina dari sekarang.”