Setiap kemenangan tetap penting untuk setiap pasukan, setiap perlawanan – Faisal Halim
Stadium MBPJ menyaksikan satu lagi malam penuh semangat apabila Selangor FC berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super semalam.
Pada perlawanan tersebut turut menyaksikan Faisal Halim atau lebih mesra dengan panggilan Mickey telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
“Yang penting kemenangan untuk pasukan, bukan armband ke apa, kapten ke sebagainya.
Saya ‘lead the team’, jalankan tugas untuk organisasi dan tiga mata yang penting untuk Selangor,”
katanya.
Jelas Mickey lagi, walaupun Selangor telah pun mengesahkan kedudukan naib juara liga, Faisal percaya setiap perlawanan masih membawa erti dan perlu dihargai.
“Setiap kemenangan tetap penting untuk setiap pasukan, setiap perlawanan.”
Dalam pada itu, beliau yang ditanya tentang prestasi dirinya sendiri mengakui masih belum berada di tahap terbaik. Baginya, ruang untuk terus bekerja keras sentiasa ada.
“Saya rasa belum sampai tahap yang sebenar. Perlu kerja keras lagi untuk cari prestasi terbaik, nak sampai ke puncak seperti biasa.”
Sementara itu, selain sudah mengesahkan tempat sebagai naib juara Liga Super, Selangor turut sudah mengesahkan slot ke AFC Champions League Two (ACL 2) pada musim hadapan.