Revolusi NSFC bermula – pemain kebangsaan & Jepun bakal perkuat pasukan

647

Selepas mengharungi musim Liga Super yang agak mengecewakan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus telah memberi bayangan awal mengenai transformasi skuad untuk musim hadapan.

Menurut Faliq, selain mengekalkan beberapa tonggak utama seperti Takumi Sasaki, beliau turut mendedahkan bahawa dua hingga tiga pemain kebangsaan akan memperkuatkan pasukan.


“Insya-Allah musim depan akan ada 2-3 pemain kebangsaan bersama kita, juga beberapa pemain import dari Jepun hasil kolaborasi dengan kelab luar negara yang bakal dimeterai dalam masa terdekat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faliq pada masa sama turut berkongsi mengenai perkembangan di mana beliau bersama pengurusan kelab akan terbang ke Jepun pada bulan hadapan yang akan menyaksikan pemeteraian MoU bersama dua hingga tiga kelab di negara itu.

MoU itu adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh hubungan antarabangsa dan membuka jalan kepada pemain berkualiti.

Dalam pada itu, Faliq turut menegaskan komitmen pengurusan dalam memperbaiki kelemahan yang wujud termasuk dari aspek fasiliti, struktur organisasi dan kualiti pemain.

“Kita sedang tunggu kelulusan untuk memulakan kerja pembinaan pusat latihan sendiri. Penaja sudah ada. Selepas musim ini tamat, kita akan teruskan dengan kerja-kerja awal.”

Beliau pada masa sama mengakui bahawa prestasi skuad Jang Hobin pada musim ini mengecewakan berikutan beberapa kekurangan dari sudut kualiti pemain selain faktor-faktor tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang sepatutnya boleh dimenangi.

Faliq juga tidak dapat memberikan pengesahan buat masa ini mengenai status ketua jurulatih K Nanthakumar samada beliau akan kekal pada musim hadapan atau tidak.

“Ada calon-calon sudah dikenal pasti. Keputusan samada nak kekal atau tidak akan diumumkan nanti.”

Sementara itu, Faliq berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universal Sports — pengedar rasmi jenama seperti Warrix, Dydem, dan Victor yang sekaligus mengesahkan Warrix sebagai penaja rasmi jersi pasukan untuk dua musim akan datang.