Eddy Bernard: Pingat gangsa di Paris jadi pembakar semangat untuk terus melangkah jauh

67

Atlet para negara, Eddy Bernard, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki T44 pada temasya Paralimpik Paris 2024. 

Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi momen manis buat dirinya, malah menjadi bukti kegigihan serta dedikasi beliau selama bertahun-tahun dalam sukan olahraga.


“Pengalaman pertama saya di Paralimpik memang luar biasa. Persiapan ambil masa yang lama, tapi saya memang letak target untuk sampai ke Paris dan bawa pulang pingat. Itu jadi semangat saya sepanjang jalan,” 

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, keyakinan untuk memenangi pingat gangsa sudah wujud sejak awal kerana beliau mengetahui kekuatan pesaing terdekatnya dari Afrika Selatan dan menjadikan mereka sebagai penanda aras sepanjang perlumbaan.

“Dalam fikiran saya, kalau saya boleh follow dia, confirm saya boleh dapat pingat.”

Dalam pada itu, selepas kejayaan tersebut Eddytidak mahu berhenti di situ kerana beliau menyasarkan untuk mengekalkan prestasi dan terus memperbaiki teknik serta kekuatannya dalam sesi latihan akan datang.

“Setakat ini saya akan fokus pada beberapa kejohanan terbuka untuk dapatkan kembali momentum. Yang terdekat, Grand Prix di Paris awal bulan Jun nanti.”

Eddy juga menyatakan harapan untuk terus menaik taraf prestasinya dari segi kekuatan dan teknik larian bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

“Harapan saya sekarang ini adalah untuk kekalkan prestasi dan pingat yang saya ada sekarang. Dan kalau boleh, dapatkan lagi pingat-pingat yang lebih tinggi di kejohanan akan datang.”

Sementara itu, kejayaan Eddy Bernard adalah simbol semangat juang atlet para negara yang tidak pernah mengenal erti putus asa. 

Dengan sokongan berterusan dan latihan yang konsisten, tidak mustahil untuk beliau kembali menyinar di pentas dunia dan mengharumkan nama Malaysia sekali lagi.