Amisha sedia gegar gelanggang FURY Championship: Saya bak bagi yang terbaik buat peminat dan keluarga

162

Bintang Muay Thai profesional negara, Amisha, tampil penuh keyakinan dan semangat dalam sesi sidang media FURY Championship yang berlangsung di Royale Chulan Damansara semalam. 

Ini merupakan penampilan pertamanya dalam kejohanan berprestij tempatan itu dan beliau tidak sabar untuk turun ke gelanggang.


“Hari ini memang pengalaman baru buat saya. Sebelum ni saya dah banyak fight, termasuk di luar negara. Tapi kali ni vibe dia lain. Ada photoshoot, ada interview, press conference semua ada flow dia tersendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun sudah berpengalaman luas dalam sukan tempur ini sejak usia enam tahun, Amisha mengakui bahawa suasana dan tekanan dalam kejohanan seperti FURY Championship memberi rasa yang berbeza. 

Namun, tekanan ini dianggapnya sebagai satu pembakar semangat.

“Tadi atas pentas rasa panas juga. Tapi saya anggap tu sebagai fun dan pembakar semangat. Kalau tak, tak ‘feel’ lah sebelum lawan.”

Dalam pada itu, bagi Amisha, matlamatnya kekal jelas sejak hari pertama dia menyertai sukan ini iaitu untuk membanggakan kedua ibu bapanya.

“Walaupun saya tahu mereka bangga, tapi selagi saya aktif dalam sukan ini, matlamat saya cuma satu – buat mereka bangga.”

Berhadapan dengan pencabar dari Indonesia yang berpengalaman dan lebih berusia, Amisha tetap tenang dan optimis. 

Beliau percaya pengalaman berlawan dengan atlet dari luar negara telah mempersiapkannya dari segi mental dan fizikal.

“Size dan umur bukan ukuran. Saya pernah lawan dengan fighter yang lebih kecil tapi jiwa besar. Apa yang penting, saya muda dan masih ada tenaga untuk fight dengan sepenuh hati.”

Sementara itu, Amisha turut menyeru kepada semua peminat sukan Muay Thai dan penyokongnya untuk hadir memberi sokongan pada 2 Mei nanti, kerana ini merupakan salah satu peluang jarang untuk melihat beliau beraksi secara langsung di tanah air.