Syakir tamatkan Malaysian Championship 2025 di kedudukan kelima, sasar perbaiki prestasi di AS
Pemain golf muda negara, Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry berjaya menamatkan saingan Malaysian Championship 2025 dengan berada di kedudukan ke-5 keseluruhan, selepas mencatatkan 238 pukulan, 22 di atas par sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
Syakir yang ditemui selepas tamat kejohanan berkongsi perjalanan prestasinya sepanjang tiga hari pertandingan.
“Hari pertama, saya rasa banyak ruang boleh diperbaiki, terutama dari segi short game, long game dan pukulan iron,”
jelas Syakir kepada Harimau Malaya.
Namun, peningkatan mula kelihatan pada hari kedua, apabila beberapa aspek permainan seperti chipping mula menunjukkan hasil positif.
“Hari kedua, chipping saya dah makin okey, cuma iron masih belum cukup baik.”
Pada hari terakhir kejohanan, Syakir mengambil pendekatan lebih santai dan bermain dengan lebih tenang.
“Final day hari ni saya main enjoy je sebab dah tahu dapat nombor lima. Tapi short game hari ni kurang sikit.”
Walaupun menamatkan kejohanan dalam kelompok lima terbaik, Syakir tetap meletakkan standard tinggi terhadap prestasinya dan mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
“Overall tak puas hati. Banyak lagi boleh improve, especially short game dengan pukulan iron.”
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Syakir mendedahkan fokus kini adalah terhadap kejohanan besar di peringkat antarabangsa.
“Next tournament besar dekat US. Jadi saya akan fokus perbaiki semua yang kurang sebelum ke sana.”