Malaysian Championship 2025: Pendedahan antarabangsa untuk bakat muda golf negara

88

Kejohanan Malaysian Championship 2025 yang berlangsung selama tiga hari berjaya menutup tirainya dengan gabungan cabaran dan kejayaan, meskipun penyertaan peserta tidak mencapai sasaran. 

Menurut Pengarah LT Malaysia (MY), Sivanandan Chinnadurai, kejohanan anjuran US Kids Golf ini berjaya menarik penyertaan 77 pemain dari 16 negara, walaupun sasaran awal ialah 90 peserta.


Walaupun jumlah peserta di bawah jangkaan, Sivanandan menegaskan kejohanan ini tetap berjaya dari segi kualiti. 

“Kami sedar ada faktor seperti kos perjalanan atau jadual yang mungkin menyukarkan penyertaan penuh. Tapi kehadiran pemain dari 16 negara seperti Singapura, Thailand, Australia, dan Uzbekistan tetap satu pencapaian,”

ujarnya.

Cuaca juga menjadi ujian, dengan hujan dan panas yang tidak menentu namun, semua pusingan berjaya diselesaikan tanpa gangguan besar. 

“Pasukan teknikal dan sukarelawan bekerja keras untuk pastikan gelanggang sedia untuk setiap hari.”

Kejohanan ini menampilkan 13 kategori umur (6–18 tahun), memberi peluang kepada pemain muda bersaing dengan rakan sebaya. 

Namun, dua kategori terpaksa digabungkan akibat kekurangan peserta.

Dalam pada itu, beberapa pemain menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan skor yang layak mereka ke ranking WEGA (World Amateur Golf Ranking). 

“Pendedahan bermain dengan peserta antarabangsa tingkatkan keyakinan dan teknik mereka. Ini lebih bernilai daripada sekadar menang.”

Sebagai sebahagian daripada US Kids Golf Tour, kejohanan ini menjadi platform untuk pemain layak ke Grand Finals di North Carolina, Amerika Syarikat pada Julai/Ogos 2025. 

Peserta berpeluang meraih priority status berdasarkan prestasi di siri kejohanan tempatan, termasuk Malaysian Championship. 

“Pemain terbaik boleh ke AS tanpa perlu melalui kelayakan tambahan. Ini peluang emas untuk mereka.”

Sementara itu, Sivanandan yakin dengan potensi besar golf remaja negara. 

“Malaysia antara negara pertama di Asia yang sertai US Kids Golf. Sekarang, format ini sudah berkembang ke Uzbekistan, India, dan lain-lain. Kita perlu terus jadi pelopor.”

Beliau juga menekankan kepentingan sokongan ibu bapa dan pihak berkaitan dan dengan pendedahan antarabangsa dan sistem sokongan yang kukuh, golf remaja Malaysia berpotensi melakar nama di persada dunia.