Siapa tahu, suatu hari nanti kita akan lihat pemain negara ini beraksi di Sepanyol- Luis Garcia

182

Lagenda LaLiga, Luis Garcia teruja melihat kemajuan bola sepak Asia Tenggara yang semakin jelas terbukti melalui kejayaan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menyuarakan keyakinan bahawa tidak mustahil untuk pemain dari Malaysia akan beraksi di Sepanyol satu hari nanti.

“Mereka bukti bola sepak rantau ini sedang berkembang. Prestasi JDT di peringkat Asia memberi kesan domino kepada pemain muda untuk bermimpi besar.

Siapa tahu suatu hari nanti kita akan lihat pemain negara ini beraksi di Sepanyol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Garcia, beliau juga menekankan kepentingan infrastruktur dan sokongan pihak berkaitan.


Garcia pada masa sama turut mengakui mengakui kehadiran pemain Sepanyol seperti Samu Castillejo (Johor Darul Ta’zim) dan Josep María Giménez (Persib Bandung) berjaya meninggalkan impak positif. 

“Mereka bukan sekadar bermain, tetapi juga berkongsi pengalaman bermain di liga elit seperti LaLiga. Ini inspirasi buat bakat muda Asia.”

Bekas pemain Liverpool dan Atletico Madrid itu berkata demikian ketika ditemui pada acara LaLiga Beat The Best yang berlangsung di The Glitch menyaksikan aktiviti interaktif seperti pertandingan FIFA, sesi meet-and-greet, dan pameran trofi LaLiga.

Dalam pada itu, Garcia yang sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia berkata kunjungannya bukan sekadar untuk mempromosikan LaLiga Beat The Best, tetapi juga mengukuhkan hubungan jangka panjang antara LaLiga dengan Malaysia.

“Kami tak mahu hadkan bola sepak pada padang sahaja. Melalui permainan FIFA EA Sports, kami cipta ruang untuk peminat mengalami semangat LaLiga secara digital.”

Program seperti ini bertujuan mencetuskan minat anak muda terhadap bola sepak dalam pelbagai bentuk, sekaligus membuka peluang kerjaya dalam industri sukan.

Sementara itu, Garcia turut mendedahkan keunikan  LaLiga sebagai liga yang tidak hanya fokus pada dua pasukan dominan.

 “Setiap perlawanan memberi kejutan. Ini yang buat peminat tak boleh lepaskan.”