Tahun 2025 penting buat Malayan Tigress dan bola sepak wanita negara – Soleen Al-Zoubi

237

Bola sepak wanita telah memperlihatkan perkembangan yang cukup positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tahun 2025 bakal menjadi yang sangat penting buat bola sepak wanita negara dan Malayan Tigress.

Perkembangan positif bola sepak wanita negara ketika ini disumbang oleh banyak saingan liga dan kejohanan dari peringkat senior sehingga ke peringkat akar umbi.


Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi meletak sasaran tinggi untuk menyaksikan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 akan lebih kompetitif dan tersusun.

“Sudah tentu jangkaan lebih tinggi berbanding tahun lepas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut beliau, LWN adalah platform utama untuk para pemain wanita beraksi dan membina kerjaya, malah menjadi medan penting untuk pemilihan pemain ke pasukan kebangsaan.

Perancangan turut merangkumi pengenalan sistem pelesenan kelab secara berperingkat, dengan penekanan pada aspek pengurusan, fasiliti, kontrak pemain dan juga pemain import. 

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menaik taraf liga agar lebih profesional dan berdaya saing.

Soleen pada masa turut memberitahu bahawa tahun ini akan menyaksikan sekurang-kurangnya enam kejohanan rasmi melibatkan semua peringkat umur iaitu dari skuad senior di Sukan SEA dan Kelayakan AFC, hinggalah ke kejohanan AFF dan Kelayakan AFC bagi kategori bawah 17 dan bawah 20 tahun.

“Kem latihan pertama bagi pasukan senior akan bermula pada jendela FIFA bulan Mei.”

Beliau turut memberitahu bahawa skuad negara mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa di Bhutan pada bulan Mei berdepan Hong Kong dan tuan rumah Bhutan sebagai persediaan kelayakan Piala Asia yang Bermula pada Jun.

Dalam pada itu, Soleen turut menegaskan bahawa pembangunan akar umbi adalah tunjang utama kejayaan. 

“Seperti yang kami sebut sebelum ini, matlamat kami, strategi jangka panjang kami adalah pembangunan. Kita tidak boleh mengharapkan prestasi yang cemerlang dari pasukan kebangsaan tanpa program pembangunan. 

“Sekarang kita masih menjalankan program pembangunan dengan sekolah, dengan KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia), dan kita juga anjurkan klinik bola sepak di seluruh Malaysia.”

Tambahnya lagi, fokus utama mereka kini adalah kepada pemain bawah 17 tahun, susulan kelayakan tahunan untuk Piala Dunia FIFA kategori tersebut. 

Kumpulan pemain muda berumur 14 hingga 15 tahun kini dianggap sebagai “skuad projek” dengan sasaran jangka panjang untuk layak ke pusingan akhir AFC.

Sementara itu, Soleen yang mengulas tentang Hala tuju ke arah liga profesional mengakui ia akan mengambil masa kerana Malaysia masih kekurangan pemain wanita profesional dan pembangunan perlu dimulakan dari akar umbi.

“Kita perlu perbesar ‘pool’ pemain dahulu sebelum profesionalisasikan liga.”

Beliau menegaskan pentingnya memastikan setiap fasa pembangunan diberi perhatian sebelum mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.