Hinoshi mahu tutup musim dengan gaya, fokus Selangor kekal profesional hadapi PDRM
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Hinoshi menyifatkan pertemuan terakhir Liga Super menentang PDRM FC pada Sabtu ini sebagai peluang terbaik untuk menutup tirai musim 2024/25 dengan penuh bergaya.
Menurut Hinoshi, beliau meluahkan rasa bangganya terhadap kerja keras yang dipamerkan oleh seluruh barisan pemain dan staf kejurulatihan walaupun ada di antara mereka yang kurang mendapat minit permainan sepanjang musim.
“Kami sudah bertemu PDRM dua kali dalam saingan Challenge Cup. Salah satunya kalah secara kontroversi 3-4, kemudian kami berjaya menang dan akhirnya muncul juara. Jadi kami sudah cukup kenal lawan.
Tapi seperti biasa, saya tekankan kepada pemain supaya fokus pada gaya permainan kami sendiri. Ini adalah perlawanan terakhir musim ini, dan jika mereka mahu menang, kami juga begitu. Jadi kami mesti bermain dengan penuh kesungguhan,”
katanya.
Hinoshi juga berpuas hati apabila Selangor berjaya mencapai sasaran utama musim ini iaitu menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua dan merangkul kejuaraan Challenge Cup.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kerja keras semua pihak dalam pasukan, dari barisan pemain hingga ke pengurusan tertinggi.
Dalam pada itu, Hinoshi berkata tiada satu pun nama yang boleh diangkat sebagai pemain terbaik musim ini kerana setiap individu telah memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang.
“Dari penjaga gol hingga ke barisan serangan, semua orang beri komitmen. Walaupun ada yang jarang bermain, mereka tetap beri sepenuh usaha dalam latihan. Saya sangat kagum dengan semua.”
Walaupun kedudukan kedua sudah terjamin, Hinoshi tetap mahu anak buahnya mengekalkan semangat profesionalisme dalam perlawanan terakhir ini.
“Kita mesti jadi profesional, bukan sahaja sebagai pemain dan jurulatih, tetapi sebagai satu pasukan. Setiap pemain mungkin ada definisi tersendiri, tetapi bagi saya, profesional bermaksud beraksi dengan penuh tanggungjawab dan semangat, demi menyenangkan hati penyokong serta menghargai segala usaha staf, pengurusan, malah wartawan dan pihak media.”
Sementara itu, mengenai musim hadapan, khususnya ketiadaan Piala MFL dan peluang untuk pemain muda, Hinoshi menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkannya secara serius.
“Bukan secara automatik, tapi ya, saya sedang fikirkan. Ini salah satu perancangan, dan saya yakin kita akan ada strategi khusus tahun depan. Tapi buat masa ini belum boleh dedahkan lagi.”