Pelajar kena buat pinjaman nak belajar, KPT pula senang-senang bagi RM3.7 juta pada UiTM FC
Nampaknya kelab UiTM FC disahkan akan terus beraksi dalam saingan Liga Perdana selepas dilaporkan telah mendapat suntikan dana daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM3.7 juta.
Terdahulu ramai tertanya-tanya samada kelab bola sepak bertaraf universiti akan kekal dalam saingan Liga Malaysia atau tidak selepas lebih separuh daripada pemain dan barisan kejurulatihan meninggalkan pasukan itu berikutan kekangan dana.
Bagaimanapun dengan suntikan dana daripada KPT, UiTM dapat beraksi untuk tempoh semusim, namun yang menjadi persoalannya kini adalah mengapa KPT sanggup mengeluarkan dana untuk menyelamatkan sebuah kelab bola sepak.
Ya, sememangnya UiTM ini kelab bola sepak dari universiti tetapi ia sepatutnya bukannya terikat dengan KPT sebaliknya ianya adalah entiti yang berbeza iaitu dikendalikan oleh syarikat swasta, jadi pihak kelab sepatutnya mencari dana sendiri dan bukannya mengharapkan wang kerajaan.
Tetapi apa yang membuatkan peminat tertanya-tanya adalah apa yang membuatkan KPT sanggup keluarkan jutaan ringgit nak selamatkan sebuah kelab bola sepak yang tidak memberi sebarang manfaat langsung kepada KPT.
Siapakah individu di KPT yang memberi kelulusan menyalurkan dana kepada UiTM?
Walaupun ia satu berita yang baik untuk liga bola sepak tempatan, tetapi ia adalah berita yang tidak baik buat pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi yang merasakan seperti dianaktirikan oleh badan yang sepatutnya menjaga mereka.
Ketika pelajar-pelajar terpaksa mengambil pinjaman pendidikan untuk meneruskan pengajian dek dana biasiswa dikurangkan atas alasan ekonomi merosot, tetapi pihak KPT pula dengan sewenang-wenangnya beri sejumlah wang kepada kelab bola sepak.
RM3.7 juta bukanlah satu jumlah yang kecil tetapi ia satu jumlah yang cukup besar untuk digunakan untuk bantu ratusan ataupun ribuan pelajar.
Diharap pihak KPT dapat tampil menjawab persoalan ini kerana ramai yang ingin mengetahui apakah faktor utama yang menyebabkan mereka sanggup memberi dana kepada UiTM?