Pemain boleh minta gaji tinggi, tapi mereka perlu ‘show result’ dulu – Lee Chong Wei

415

Lagenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei berharap agar kepimpinan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bakal dilantik tampil dengan pendekatan lebih berani dan sistematik dalam menguruskan struktur gaji pemain.

Menurut Chong Wei, struktur semasa perlu dinilai semula agar lebih adil dan berpatutan, demi memastikan keseimbangan antara ganjaran dan pencapaian sambil menekankan pemain perlu ‘membuktikan nilai’ melalui prestasi.


“Sistem sekarang mungkin perlu diubah. Pemain boleh minta gaji tinggi, tapi mereka perlu show result dulu. Kalau tak berjaya, jangan harap dapat bayaran luar biasa. Jika mereka mahu lebih, mungkin lebih baik beralih ke status pro dan cari sponsor sendiri,” 

katanya.

Beliau turut berharap kepimpinan baharu BAM akan membawa pembaharuan, terutama dalam menyediakan fasiliti dan sistem sokongan yang lebih baik untuk atlet.

“Kita perlu win-win situation: pemain diberi peluang saksama, BAM pula tak terbeban dengan permintaan kewangan yang tidak seimbang.”

Dalam pada itu, Chong Wei yang ditanya mengenai peluang pasukan negara pada kejohanan Piala Sudirman mengakui cabaran besar menanti pemain negara terutamanya ketiadaan pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia yang cedera.

Biarpun sedar dengan cabaran menanti, beliau tetap optimis peluang Justin Hoh dan Leong Jun Hao.

“Kita nampak peluang Malaysia untuk mara ke peringkat kalah mati (kuarter final) masih ada. Dalam kumpulan ini, kita akan lawan Perancis, Australia, dan Jepun. Australia mungkin boleh diatasi, tapi Perancis dan Jepun lebih sukar. Yang penting, semangat pasukan mesti tinggi. Harapan utama kita ialah kekal dalam Division 1 dan jangan sampai tersingkir ke Division 2.”

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berpasukan, terutamanya dalam kejohanan beregu seperti Piala Sudirman.

Sementara itu, Chong Wei yang merupakan salah seorang yang berada dalam Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu atlet elit, namun menegaskan kepentingan kontrak yang telus dan adil.

“Zaman saya dulu, atlet gembira dapat sokongan kerajaan. Sekarang, RTG perlu pastikan kontrak mereka difahami atlet. Jangan sampai ada salah faham. Prioriti utama ialah memastikan atlet fokus pada latihan, bukan terikat dengan tuntutan komersial.”