Keputusan Lesen Kebangsaan akan diketahui pada 30 April & hadiah lumayan menanti pembeli tiket final Piala Malaysia

188

Dalam usaha mempertingkat tahap profesionalisme bola sepak tanah air, Malaysian Football League (MFL) kini giat memastikan semua kelab Liga Super memenuhi piawaian pelesenan kebangsaan, selepas beberapa kelab gagal memperoleh Lesen AFC untuk musim 2025/2026.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli, pasukan Unit Pelesenan Kelab MFL sedang memberi bimbingan dan sokongan kepada kelab-kelab terlibat untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam proses Lesen Kebangsaan, dengan tarikh akhir keputusan dijadualkan pada 30 April 2025.


“Kita faham ada cabaran, tetapi MFL dan Unit Pelesenan terus membantu kelab dari pelbagai sudut agar mereka dapat penuhi semua kriteria. Kita mahu mereka kekal dalam liga dengan status profesional,”

katanya.

Dokumen pelesenan kebangsaan kini dalam semakan oleh First Instance Body (FIB), dan mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat untuk menilai kelayakan semua kelab yang memohon.

“FIB akan menilai semua dokumen yang diterima, dan keputusan rasmi akan diumumkan pada 30 April nanti.”

Dalam pada itu, Shazli turut mengulas mengenai status kelab Brunei DPMM FC yang berhasrat mahu bermain dalam saingan Liga Super, di mana beliau menjelaskan bahawa MFL sedang menunggu keputusan lengkap proses pelesenan kebangsaan sebelum membuat pengesahan penuh.

“Status DPMM akan dimuktamadkan selepas kita selesaikan isu lesen kebangsaan. Buat masa ini, semua pasukan termasuk DPMM masih komited dan optimis.”

Sementara itu, Menjelang Final Piala Malaysia yang dinanti-nantikan antara JDT dan Sri Pahang FC, Shazli turut mengumumkan perkembangan positif jualan tiket yang mana setakat ini lebih 60% dan berharap boleh capai sekurang-kurangnya 80% menjelang hari perlawanan.

Sebagai insentif menarik, MFL juga memperkenalkan cabutan bertuah eksklusif untuk pembeli tiket secara atas talian.

Hadiah yang ditawarkan termasuk tiga motosikal, tiga skuter, dua telefon pintar (iPhone), dan dua kamera Insta360. Cabutan bertuah ini terbuka khas untuk pembeli tiket secara dalam talian sahaja.