Kalau saya berpeluang untuk mewakili negara seperti Malaysia, saya akan sangat gembira – Bergson

405

Bintang import sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva, terus memahat namanya dalam sejarah bola sepak Malaysia selepas meraih tiga anugerah utama di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025: Kasut Emas Liga Super, Pemain Import Terbaik, dan slot dalam Fans XI (Penyerang). 

Namun, di sebalik kejayaan individu, pemain berasal dari Brazil ini menyimpan impian besar iaitu berhasrat mewakili pasukan kebangsaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.


“Kalau ada peluang untuk bermain untuk negara seperti Malaysia, saya akan sangat gembira. Ini bukan sekadar impian, tapi penghormatan buat saya,”

ujarnya.

Bergson yang kini menjadi penjaring terbanyak Liga Super buat kali ketiga bersyukur dan bangga dengan pencapaiannya.

“Saya masih ingat musim lepas, saya hanya mampu berhasrat. Kini, Kasut Emas ini jadi milik saya. Tapi ini bukan usaha saya seorang. Terima kasih kepada rakan sepasukan, penyokong, dan bos (Tunku Mahkota Johor) yang sentiasa percaya pada kami. Tanpa mereka, semua ini mustahil.

Tahun ini saya rasa lebih matang. Bos mengajar saya erti profesionalisme dan semangat juang sebenar. Beliau bukan sekadar pemimpin kelab, tapi juga orang yang mengubah hidup saya dan keluarga. Saya berhutang budi padanya.”

Dalam pada itu, Bergson juga berkata anugerah ini akan menjadi suntikan semangat untuk dirinya yang akan turun beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC hujung minggu ini.

Katanya, fokus mereka kini adalah untuk bawa pulang satu lagi trofi ke Johor selepas mereka sudah berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Sementara itu, Bergson turut mengakui banyak yang beliau pelajari sepanjang menyarung jersi JDT.

“Setiap hari, saya belajar untuk jadi lebih kompetitif. Kini, saya tak lagi sekadar pemain import – saya sebahagian dari keluarga JDT.”