Saya tak ambil hati dengan kecaman, jadikan ia sebagai pembakar semangat – Haqimi Azim
Bintang muda Kuala Lumpur City FC (KL City), Haqimi Azim, dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/25.
Pencapaian ini menjadi bukti ketekunan pemain berusia 19 tahun itu dalam mengharungi cabaran liga, sekaligus menjawab segala kritikan dengan prestasi cemerlang.
“Syukurlah, anugerah ini milik semua: keluarga, rakan-rakan, dan penyokong yang tak pernah putus menyokong. KL City juga beri saya peluang berkembang. Ini pembakar semangat untuk terus berjuang.
Ini kali pertama saya menang anugerah sebesar ini. Ia pengiktirafan tidak terduga, tapi saya janji akan terus bekerja keras. Saya tak ambil hati, tapi jadikan bahan bakar,”
katanya.
Haqimi tidak menafikan tekanan sebagai pemain muda yang beraksi di liga elit, namun beliau mengambil pendekatan positif dalam menangani kritikan.
Tambahnya lagi, sebagai pemain muda beliau perlu terus tabah dan fokus pada perkembangan, bukan komen luar.
Dalam pada itu, Haqimi turut berterima kasih kepada kelabnya yang menjadi platform untuk kariernya dan bertekad mahu bawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.
“KL City percayakan saya sejak dari bawah. Di sini, saya belajar erti disiplin dan kerja berpasukan. Musim depan, saya ingin bawa kelab ini ke tahap lebih tinggi. Anugerah ini bukan akhir perjalanan. Saya tahu persaingan di liga semakin sengit. Tapi saya sedia!”
Sementara itu, Haqimi berkata beliau sentiasa akan buat yang terbaik dan berusaha untuk menarik perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan untuk memanggilnya menyarung jersi Harimau Malaya.