Bola sepak ini permainan ‘lucu’, kita hanya mahu keadilan dalam permainan – Fandi Ahmad
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berharap perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang keputusan kontroversi.
Menurut Fandi, apa yang paling penting bukanlah keputusan perlawanan, sebaliknya keadilan dalam permainan.
“Biasa saja. Bola sepak adalah permainan ‘lucu’. Kita nak adil saja. That’s all. Harus adil saja. Menang, kalah saya tak ada masalah,”
katanya sidang media pra perlawanan sebentar tadi.
Fandi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai harapan beliau mengenai mutu pengadilan untuk perlawanan final esok berikutan beliau pernah lantang mengkritik mutu pengadilan dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
Dalam pada itu, berkongsi lanjut mengenai persiapan pasukannya menjelang aksi final yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok yang mana beliau melabel pasukannya sebagai pasukan ‘underdog’.
Biarpun tanpa dua tonggak utama iaitu Kpah Sherman dan Manuel Hidaldo, Fandi yakin pasukannya mampu memberikan saingan yang sengit berdasarkan semangat dan kesungguhan tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang minggu persiapan.
“Latihan 4-5 hari terakhir ini sangat baik. Pemain bersungguh-sungguh, dan motivasi mereka sangat tinggi. Kami tahu JDT bukan lawan yang mudah, tetapi kami datang bukan untuk menyerah.”
Beliau turut berkongsi bahawa mereka telah menjalani latihan intensif di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi menyesuaikan diri dengan kondisi padang yang mirip Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keutamaan diberikan kepada kekuatan mental dan semangat berpasukan, bukan hanya aspek teknikal semata-mata.
“Saya selalu tukar kesebelasan. Saya mahu lihat siapa yang benar-benar mahu bermain dan siapa yang sanggup pikul beban sebagai satu pasukan. Mereka harus main untuk team, bukan individu. Kalau semua bersatu, insyaAllah kita boleh beri cabaran.”
Sementara itu, ketua pasukan Tok Gajah, Fadhli Shas mengakui kehebatan JDT tetapi tidak akan membiarkan rasa rendah diri menghalang misi mereka di pentas akhir.
“Kami tahu kemampuan pasukan kami. Kami akan turun dengan penuh fokus, ikut segala taktikal jurulatih, dan berikan yang terbaik.”
Fadhli yang pernah merasai pentas akhir bersama Pahang pada 2014 di mana ketika itu beliau menyarung jersi JDT, kini bertekad untuk membawa semangat itu sekali lagi buat pasukannya.