Arne Slot beri penghormatan kepada Jurgen Klopp berjaya bawa Liverpool julang PL
Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot, memberikan penghormatan kepada ketua jurulatih terdahulunya, Jurgen Klopp, sejurus selepas Liverpool dinobatkan sebagai juara buat kali kedua dalam era Premier League.
Slot membawa Liverpool meraih kejuaraan dalam musim pertamanya sebagai pengendali, dengan gelaran ke-20 mereka di divisyen teratas disahkan selepas kemenangan 5-1 ke atas Tottenham Hotspur pada Ahad.
Dipetik dari Premierleauge.com, pengendali dari Belanda itu segera meluahkan rasa terima kasihnya kepada Klopp atas skuad yang ditinggalkan.
“Ia satu perasaan yang hebat. Saya rasa saya tidak mahu berkata banyak. Cuma sekarang, saya ingin mengucapkan penghargaan saya kepada Jurgen Klopp.
Kerja keras Jurgen dan Pep [Lijnders, pembantu Klopp] — budaya, etika kerja, kualiti — memang luar biasa.”
Slot kemudian meminta para penyokong menyanyikan lagu “Live Is Life” dari Opus (1984), tetapi menggantikan lirik “Arne Slot” dengan “Jurgen Klopp”.
Ini merujuk kepada tindakan Klopp yang sebelum ini menyanyikan lagu sama di Anfield selepas perlawanan terakhirnya, menggantikan lirik dengan nama Slot.
“Saya 99.9 peratus pasti kalau saya buka telefon sekarang, akan ada mesej daripada Jurgen,”
kata Slot kepada BBC Match of the Day.
“Sepanjang musim ini, kami sering berhubung. Saya rasa dia menunjukkan betapa mulianya peribadinya dengan memperkenalkan saya musim lalu. Tetapi yang paling penting adalah pasukan yang ditinggalkannya mampu menjuarai trofi ini.”
Ini adalah kejuaraan Premier League pertama Liverpool sejak musim 2019/20, namun ketika itu perlawanan berlangsung tanpa penonton disebabkan sekatan COVID-19.
Slot bertekad agar pasukannya tidak mengecewakan di hadapan Anfield yang penuh, apatah lagi selepas bekas penyerang Liverpool, Dominic Solanke, membuka jaringan untuk Spurs.
“Cara kami tiba dengan bas, semua orang yakin kami tidak mungkin kalah dalam perlawanan ini. Kebobolan gol awal memang menyukarkan, tetapi mereka tetap menemui jalan untuk menang.
Saya amat berbangga, bukan hanya dengan para pemain. Semua orang tahu betapa banyak usaha yang telah dicurahkan sepanjang beberapa tahun ini. Semua yang berdiri di sini, [penyokong] anda semua juga layak diberikan tepukan gemuruh.
Lupakan bahawa ini hanya kejuaraan kedua dalam 35 tahun — ini kejuaraan kedua dalam lima tahun.”