Saya tak menyesal sertai Perak FC, tapi tunggakan gaji perlu diselesaikan segera – Clayton da Silva

572

Pemain import Perak FC, Clayton da Silva menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai The Bos Gaurus sepanjang musim ini biarpun berdepan isu tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

Musim pertamanya di Liga Super Malaysia, Clayton menjadi tulang belakang Perak dengan 10 gol dan lapan bantuan jaringan termasuk mendapat lebih 2,000 minit permainan. 


Namun, di sebalik kejayaan di padang, Clayton bergelut dengan krisis kewangan yang melanda kelab apabila beliau tidak mendapat gaji lebih enam bulan dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera.

“Saya tidak menyesal kerana saya bermain dengan baik di sini, sepanjang musim. Saya disayangi, dihormati, dan difahami. Saya menjalin persahabatan dan hubungan yang akan saya kenang sepanjang hidup.

Satu-satunya perkara yang mengecewakan hanyalah pengurusan Perak, yang gagal melunaskan gaji dan membuat janji palsu bahawa semuanya akan dibayar menjelang akhir musim.

Sejak April 2024, mereka hanya membayar 50% gaji. Mereka mengadakan mesyuarat di Negeri Sembilan, di Hotel Palm, Seremban pada 13/09/24 bersama Encik Roy dan ahli lembaga lain. Beliau berjanji akan membayar sekurang-kurangnya 50% setiap bulan dan mulai Januari, akan mula membayar 100% termasuk tunggakan hingga akhir musim.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Clayton, apa yang lebih membimbangkan adalah visanya dan keluarga bakal tamat tempoh tidak lama lagi sekaligus mereka sekeluarga akan menjadi pendatang haram, sedangkan dua anaknya masih bersekolah hingga Julai depan.

Berikutan itu, beliau kini dalam proses merujuk kes ini kepada Kedutaan Brazil dan peguam. 

“Kontrak tidak dipenuhi – gaji, sewa rumah, tiket penerbangan, semuanya tertunggak. Situasi ini boleh dianggap perhambaan moden di bawah undang-undang antarabangsa.”

Clayton pada masa sama juga mendedahkan bahawa pihak pengurusan kelab cuba untuk menutup isu ini dengan meminta beliau untuk padamkan hantaran media sosial dan tidak boleh bercakap dengan pihak media.

Dalam pada itu, Clayton berkata walaupun beliau kecewa tapi kecintannya pada Perak tidak pernah pudar.

“Saya datang sebagai pemain, tapi akan pergi sebagai peminat. Saya separa Melayu – panggil saya Botak, saya bangga!”

Sementara itu, Clayton kini akan mengambil pendekatan menunggu tindakan daripada pihak pengurusan kelab terlebih dahulu dan jika masih tidak selesai beliau akan bawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.