Carlo Ancelotti sah terajui Brazil untuk Piala Dunia 2026
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) mengesahkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan bersama jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, bagi mengendalikan skuad kebangsaan Brazil menjelang kempen Piala Dunia 2026.
Dipetik dari Foxsports, Ancelotti, 65, akan menjadi jurulatih asing sepenuh masa pertama Brazil dalam tempoh 100 tahun.
Beliau yang masih terikat dengan kontrak di Real Madrid dijangka akan mengambil alih tugasan secara rasmi pada 26 Mei, sehari selepas tamatnya musim La Liga.
Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues, menyifatkan pelantikan Ancelotti sebagai langkah besar dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Brazil di pentas dunia.
“Membawa Carlo Ancelotti ke Brazil adalah satu kenyataan kepada dunia bahawa kami komited untuk kembali ke puncak. Beliau jurulatih terhebat dalam sejarah dan kini akan bersama pasukan kebangsaan paling berprestij di dunia,” katanya.
Pelantikan Ancelotti juga membuka laluan kepada perubahan di Real Madrid di mana nama jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, kini menjadi calon utama untuk menggantikan tempat Ancelotti di Santiago Bernabeu.
Alonso, bekas pemain Madrid, mengumumkan akan meninggalkan Leverkusen selepas musim ini tamat.
Alonso mencipta kejutan besar apabila berjaya membawa Leverkusen menjulang kejuaraan berganda iaitu Bundesliga dan Piala Jerman pada musim lalu, hanya setahun selepas mengambil alih pasukan ketika mereka berada di zon penyingkiran.
Brazil kini memasuki era baharu dengan harapan tinggi terhadap sentuhan magis Ancelotti dalam memburu gelaran dunia keenam.