Peminat ‘berbalah’, layak atau tidak E.Elavarasan jadi pembantu KPG?

823

Peminat bola sepak negara memberikan komen-komen yang bercampur apabila berita mengenai pelantikan E. Elavarasan sebagai pembantu jurulatih tempatan untuk membantu pengendali baharu skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon.

Ada peminat yang beranggapan bahawa pemilihan jurulatih itu adalah satu tindakan yang kurang bijak oleh Pan-gon. Jurulatih dari Korea Selatan itu dilihat tidak berfikir panjang dalam melantik pembantu jurulatih tempatan.


Selain itu, ada peminat yang beranggapan bahawa pelantikan itu merupakan satu langkah ke belakang memandangkan jurulatih Sarawak United itu sudah berusia dan dilihat tidak menepati kehendak bola sepak moden.

Seorang peminat bola sepak tempatan juga turut berpendapat bahawa E.Elavarasan sudah terlalu berusia untuk menjadi pembantu kepada Pan-gon. Beliau berpendapat bahawa calon pembantu jurulatih perlulah seorang yang lebih muda.

Sumber: FAM FB

Ada juga berpendapat bahawa untuk jangka masa panjang, pelantikan itu dilihat tidak sesuai memandangkan jurulatih Sarawak United itu sudah berusia 57 tahun. Jika Pan-gon tidak menyambung kontraknya pada masa depan, adakah E. Elavarasan masih layak untuk naik menduduki kerusi kejurulatihan skuad bola sepak negara?

Sumber: FAM FB

Peminat-peminat juga beranggapan keputusan FAM untuk mengumumkan pelantikan jurulatih Sarawak United itu tidak kena pada masanya memandangkan perlawanan pertama Liga Super akan bermula pada 4 Mac.

Pasukan Sarawak United akan terjejas disebabkan oleh kehilangan jurulatih mereka dan berkemungkinan terpaksa memikirkan jalan yang sesuai untuk menampung ketiadaan pengendali itu.

Sumber: FAM FB

Pelantikan ini juga dilihat sebagai salah satu tindakan ‘recycle‘. Peminat inginkan muka-muka baru dengan idea yang lebih segar dalam memberikan nafas baru kepada skuad kebangsaan. Pelantikan itu hanya bersifat sementara yang tidak memberikan apa-apa kelebihan untuk jangka masa yang panjang.

Namun, ada juga peminat yang menyambut baik keputusan Pan-gon melantik jurulatih yang berasal dari Selangor itu. Mereka menyatakan bahawa E. Elavarasan mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan.

Rekod yang cemerlang membimbing pasukan-pasukan tidak ternama dan berjaya mencapai beberapa kejayaan juga merupakan sebab mengapa peminat-peminat meyakini pilihan yang dilakukan oleh Pan-gon.

Sumber: FAM FB

Peminat juga turut mengucapkan selamat maju jaya dan mengharapkan skuad bola sepak kebangsaan dapat bangun semula dan mencapai kejayaan di bawah kendalian dua jurulatih ini.

Sumber: FAM FB

Ujian pertama buat kedua-dua jurulatih ini adalah perlawanan persahabatan menentang jiran serantau, Filipina dan Singapura pada penghujung Mac. Menarik untuk menyaksikan barisan pemain yang akan dipanggil kelak sama ada akan ada muka-muka baru atau pemain-pemain yang sudah sedia ada dikekalkan.