Yusuf Azmi bidas sikap biadab petinju Indonesia, seru pentingnya menjaga maruah dalam sukan kombat
Aktivis masyarakat dan Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi, tampil mengecam tindakan biadab petinju Indonesia, Forlan Rivaldo, yang menggunakan kata-kata hinaan terhadap Kilat Boy, petinju profesional Malaysia, dalam usaha mempromosikan pertarungan antara mereka.
Menurut Yusuf, cabar-mencabar dalam dunia sukan kombat seperti tinju adalah perkara biasa, namun penggunaan bahasa jelik, penghinaan terhadap bangsa dan negara, sama sekali tidak boleh diterima.
“Kita boleh cabar dari segi teknik, tapi jangan sampai hina agama, bangsa dan negara. Itu dah bukan sukan, itu provokasi melampau,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Yusuf turut menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan baik sebagai negara serumpun dan tindakan seperti ini hanya mengeruhkan suasana serta mencemarkan nilai persaudaraan.
Beliau pada masa sama juga menyelar Forlan kerana menyebut Kilat Boy dengan gelaran menghina serta melabel rakyat Malaysia dengan kata-kata seperti “Malaysiandesh”.
Tegasnya, perkara seperti itu bukan cara profesional untuk mempromosikan pertarungan.
“Dia mungkin petinju profesional, tapi dari segi sikap dan adab, dia gagal sebagai seorang yang mewakili negaranya.”
Walaupun Yusuf bukan promoter rasmi Kilat Boy, beliau tetap menyokong penuh petinju negara yang berpotensi besar ke peringkat antarabangsa.
Pertarungan antara Kilat Boy dan Forlan dijangka berlangsung tidak lama lagi dan Yusuf menyatakan hasrat untuk melihat perlawanan itu terjadi demi memulihkan maruah yang telah dipijak.
“Kilat Boy tak lawan untuk populariti. Dia lawan untuk maruah. Dan maruah itu lebih mahal dari apa pun.”