Frimpong sedia sertai Liverpool, Alexander-Arnold bakal ke Real Madrid
Liverpool dilaporkan berada dalam kedudukan baik untuk mendapatkan khidmat bek kanan Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong, dalam jendela perpindahan musim panas ini.
Dipetik dari Skysports, pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan telah memaklumkan kepada kelabnya bahawa beliau ingin meninggalkan Bundesliga, dan bersedia untuk berhijrah ke Anfield jika tawaran rasmi dikemukakan.
Frimpong yang turut berada dalam senarai pendek pemain buruan Liverpool, memiliki klausa pelepasan bernilai £29.5 juta (€35 juta).
Sepanjang tiga musim bersama Leverkusen sejak 2021, pemain antarabangsa Belanda itu telah menjaringkan 30 gol dan mencipta 44 bantuan jaringan dalam 190 perlawanan yang mana ia merupakan satu pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan.
Karier Frimpong bermula di akademi Manchester City sebelum berpindah ke Celtic dengan nilai hanya £300,000 pada 2019 dan dua tahun kemudian, Leverkusen membelinya pada harga sekitar £11.5 juta.
Langkah Liverpool memburu Frimpong hadir susulan pengumuman Trent Alexander-Arnold yang akan meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat pada 30 Jun 2025.
Bek muda, Conor Bradley, kini menggalas tugas sebagai pilihan utama di posisi itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Real Madrid sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk Alexander-Arnold lebih awal daripada jadual asal.
Mereka mahu menyenaraikannya dalam Piala Dunia Kelab FIFA yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat bulan hadapan.
Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada tawaran rasmi dibuat kepada Liverpool meskipun rundingan awal telah berlangsung.
Madrid juga dikatakan mahu melantik Xabi Alonso sebagai pengganti Carlo Ancelotti menjelang kejohanan tersebut.
Alonso sendiri telah mengumumkan akan meninggalkan Leverkusen sebaik musim tamat. Perubahan besar sedang melanda dua gergasi Eropah ini menjelang musim 2025/26.