Ariff Farhan terima beberapa tawaran, namun pilih luang masa bersama keluarga dahulu
Setelah tamat saingan Liga Super musim 2024/25, pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ariff Farhan akhirnya tampil berkongsi mengenai liku-liku perjalanan pasukan dan dirinya sepanjang musim 2024/2025.
Menurut Ariff, beliau mengakui bahawa prestasi pada musim ini kurang memberangsangkan berbanding musim-musim sebelumnya, baik dari segi prestasi peribadi mahupun kolektif pasukan.
“Jika dibandingkan dengan musim lepas, saya rasa prestasi saya dan pasukan agak menurun. Banyak perkara luar jangkaan berlaku, termasuk isu kewangan dan perubahan jurulatih, yang sedikit sebanyak mengganggu tumpuan kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, perubahan ketara berlaku apabila ketua jurulatih, Nafuzi Zain, meninggalkan KDA FC untuk mengetuai skuad kebangsaan B-23 yang mana penggantinya, Victor Andrag cuba meneruskan sistem latihan sedia ada tetapi tekanan ekoran tunggakan gaji dan ketidakstabilan pengurusan menyebabkan moral pasukan terjejas.
“Jurulatih Victor berusaha baik, tapi apabila pemain import dan lokal mula meninggalkan pasukan akibat isu kewangan, semangat kami turut teruji.”
Jelasnya lagi, tunggakan gaji menjadi faktor utama kemerosotan prestasi pasukan.
Ariff juga tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar tunggakan gaji kerana tidak pasti berikutan mereka tidak pernah menerima gaji penuh setiap bulan namun beliau tetap berterima kasih kepada pihak pengurusan kelab yang terus bekerja keras untuk menyelesaikan tunggakan.
“Saya tak pasti sangat keseluruhannya sebab kita tak pernah dapat amount yang penuh satu bulan tapi saya tetap berterima kasih ataupun ‘respect’ kepada pihak pengurusan dalam masa yang sama mereka pun bekerja keras bersungguh-sungguh untuk cari atau bagi kepada setiap pemain. Itu memang saya ‘respect’ lah kepada pihak pengurusan.
Mereka tak lari dari tanggungjawab walaupun kita tahu tunggakan banyak tapi mereka masih bekerja keras untuk bagi juga kepada player. Itu yang baiklah untuk saya daripada pengurusan.”
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangannya untuk musim hadapan, Ariff mengakui sudah menerima tawaran daripada beberapa kelab, termasuk dari kelab Liga Super, namun belum buat sebarang keputusan lagi.
“Saya masih dalam mood bercuti bersama keluarga. Isu kontrak akan difikirkan kemudian. Yang penting sekarang, saya ingin luangkan masa dengan isteri dan anak.”
Walaupun terbuka dengan peluang baru, semangatnya untuk melihat Sang Kenari bangkit tetap kental.
Sementara itu, Ariff juga berterima kasih kepada penyokong Hijau Kuning yang tidak lekang berdiri di belakang pasukan walaupun di saat sukar.
“Terima kasih kerana tidak pernah berhenti menyokong. Menang atau kalah, kalian tetap di sana. Kami mohon doa semua agar pasukan ini dapat melalui cabaran dan kembali kuat di musim depan. Jangan putus asa—Kedah pasti bangkit!”