Hannah Yeoh harap Tengku Zafrul mampu bawa BAM ke tahap lebih tinggi
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyatakan keyakinan beliau terhadap pelantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.
Menurut Hannah, beliau percaya pemilihan Tengku Zafrul dibuat berdasarkan keperluan semasa badan induk itu, terutama dari sudut mendapatkan dana dan membawa pembangunan sukan ke tahap yang lebih tinggi.
“BAM memerlukan sumber kewangan yang besar untuk menyokong atlet dan jurulatih. Tengku Zafrul mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat dan kerajaan, khususnya dalam Kementerian Kewangan, yang boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan dana,”
katanya selepas menghadiri Majlis ASEAN COE for Sports Coaching Roundtable Convention on Sports Coaching 2025 (RCSC25) di Putrajaya hari ini.
Hannah turut menyuarakan harapan agar kepimpinan baharu BAM lebih terbuka untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mantan atlet, komuniti badminton, dan individu yang mahir dalam bidang perniagaan.
“Badminton hari ini berbeza berbanding dahulu. Kita menghadapi cabaran baharu, jadi penting untuk sentiasa relevan dan mengambil kira pandangan semua pihak. Saya percaya Tengku Zafrul mampu menyesuaikan diri dan menangani persepsi masyarakat dengan baik.
Sementara itu, Hannah juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Norza Zakaria atas segala sumbangan beliau dalam memperkukuh BAM, dan berharap kesinambungan pembangunan akan terus diperkasa di bawah pimpinan baharu.