Saya galakkan mereka kekal positif dan terus tingkatkan prestasi untuk pemilihan seterusnya – Peter Cklamovski

140

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu pemain yang tidak terpilih ke kem latihan pusat secara berfasa Harimau Malaya kali ini terus kekal positif dan terus bekerja keras kerana peluang untuk mereka masih terbuka.

“Saya juga pernah tertanya soalan sama pada kem pertama. Saya perhatikan semuanya. Junior berlatih dengan bersungguh-sungguh setiap hari. Saya lihat sesi latihan di JDT dan juga kelab-kelab lain — tahap intensiti dan keinginan yang ditunjukkan adalah apa yang saya cari.

Seorang pemain tidak sepatutnya hilang semangat hanya kerana tidak dipilih. Mereka semua masih dalam pertimbangan. Ya, ada pemain yang tidak dipanggil kali ini, dan ada juga yang tidak dipanggil pada kem sebelum ini.

Mereka masih berpeluang untuk dipilih pada masa akan datang. Jadi saya galakkan mereka untuk kekal positif, terus perbaiki diri, dan mereka akan sentiasa dalam pertimbangan untuk pemilihan seterusnya,”

katanya.

Cklamovski berkata demikian bagi menjelaskan mengenai isu pemilihan pemain yang kurang minit permainan tetapi tersenarai.


Skuad Harimau Malaya akan melalui kem latihan pusat secara berfasa bagi mengharungi dua perlawanan penting iaitu Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde pada 29 Mei 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025.

Dalam pada itu, Cklamovski turut mengesahkan bahawa skuad negara akan diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan baharu yang kini dalam proses akhir dokumentasi.

“Kemungkinan besar akan ada pemain baharu. Beberapa pemain Malaysia di luar negara telah lengkap dokumen mereka. Kami jangka akan ada pengumuman rasmi awal Jun.”

Tambahnya lagi, kehadiran pemain warisan baharu ini akan meningkatkan lagi kualiti serta saingan dalam pasukan, selain pemain-pemain ini akan berjuang sepenuhnya untuk negara Malaysia.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai aksi menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde, jurulatih dari Australia itu menyifatkan ia sebagai ujian terbaik untuk menilai tahap sebenar pasukan kebangsaan.

“Cape Verde adalah pasukan Afrika yang kuat dan majoriti pemain mereka beraksi di liga Portugal. Ia cabaran besar, tetapi kami bersedia.”

Cklamovski turut menegaskan bahawa terdapat beberapa persamaan dalam gaya permainan Cape Verde dan Vietnam yang boleh dimanfaatkan sebagai persediaan.