Henti bercakaran, fokus bangunkan bola sepak negara – Raja Isa

174

Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menyeru semua pihak agar berhenti menunding jari dan bercakaran sesama sendiri sebaliknya bersatu membangunkan bola sepak Malaysia. 

Menurut Raja Isa, dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak wajar dijadikan alasan atas kegagalan kelab lain atau penarikan diri daripada Liga Super.


“Menuding jari kepada JDT atau TMJ tidak adil. Ketika JDT bermula pada 2013, tiada siapa sangka mereka akan menjadi sekuat hari ini. Mereka juga pernah kalah dan melalui proses pembinaan kelab dengan visi dan pelaburan jangka panjang,”

ujar Raja Isa yang kini membimbing kelab Brunei, Indera Sports Club.

Raja Isa yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun di Indonesia termasuk bersama Persipura Jayapura dan PSM Makassar menegaskan bahawa kelab-kelab tradisi seperti Selangor, Kedah, Pahang dan Kelantan sebenarnya memiliki peluang untuk membina asas kukuh sebelum ini, tetapi gagal mengambil langkah seperti yang dilakukan oleh JDT.

“Mereka ada masa dan peluang untuk membina fasiliti dan stadium sendiri, tapi tidak dilakukan. Sekarang bila JDT berjaya, mereka pula dipersalahkan. Ini tidak adil. Kita harus melihat kepada struktur kelab, bukan hanya soal duit semata-mata.”

Dalam pada itu, Raja Isa juga menolak dakwaan bahawa JDT menjadi punca kelab lain tidak mampu bersaing. 

Sebaliknya, beliau melihat isu sebenar adalah kelemahan pengurusan dalam kelab itu sendiri.

“Mengapa tunggakan gaji dijadikan alasan untuk tarik diri? Masalah ini juga berlaku di negara lain. Saya sendiri pernah tak dibayar gaji selama lapan bulan ketika di Indonesia. Tapi mereka tidak menyalahkan pasukan juara atau penganjur liga.”

Beliau turut menekankan bahawa ini adalah masa terbaik untuk kelab Malaysia menjalani fasa transisi dan memberi peluang kepada pemain muda, bukannya terus bergantung kepada pemain lama atau menarik diri daripada liga.

“Kalau liga mati, kesannya bukan sahaja kepada pemain, tetapi kepada ramai lagi seperti penjaja kecil, petugas stadium dan komuniti bola sepak tempatan. Adakah kita yakin liga akan pulih jika ditutup sekarang?”

Sementara itu, Raja Isa juga menegaskan bahawa pembinaan bola sepak negara memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya pertelagahan dan sikap menyalahkan antara satu sama lain.